PETANI PERLU KUASAI TEKNOLOGI DIGITAL BAGI PERLUAS PASARAN PRODUK

PERASMIAN: Nizam menyempurnakan simbolik perasmian gerai dengan memotong reben.

TAWAU: Usahawan tani di Sabah disaran menguasai teknologi digital serta memanfaatkan media sosial bagi memperluas pasaran produk pertanian dan meningkatkan daya saing dalam era ekonomi digital.

Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata perkembangan Revolusi Industri 5.0 (IR5.0) dan ekonomi gig membuka peluang lebih luas kepada pengusaha pertanian untuk memasarkan hasil secara terus kepada pengguna tanpa bergantung sepenuhnya kepada kaedah pemasaran konvensional.

Beliau berkata, penguasaan teknologi digital mampu membantu petani meningkatkan nilai produk, memperluaskan rangkaian pelanggan serta memperkenalkan hasil pertanian tempatan ke pasaran yang lebih besar.

“Kita berharap petani dan usahawan tani dapat memperkasakan pengetahuan dalam bidang digital supaya mereka dapat memanfaatkan pelbagai platform yang ada untuk memasarkan produk masing-masing.

“Malah, mereka juga boleh menjadi pempengaruh dalam mempromosikan hasil pertanian serta memperkenalkan kawasan pertanian sebagai destinasi yang menarik kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Gerai Jualan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tawau di Batu 13, Jalan Apas, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian Sabah Datuk Ts. Jifrin Mohamad dan Pemangku Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Mohd Shoffian Mohd Said.

Nizam berkata, penggunaan teknologi dan media sosial bukan sahaja membantu meningkatkan jualan hasil pertanian, malah mampu menarik lebih ramai golongan muda menceburi sektor berkenaan yang kini semakin berkembang dan berpotensi tinggi.

Pada masa sama, beliau menyifatkan pembukaan gerai jualan di TKPM Tawau sebagai satu inisiatif strategik yang mampu membantu pengusaha pertanian memasarkan hasil mereka dengan lebih sistematik dan berdaya saing.

Katanya, kemudahan yang menyediakan 10 lot gerai itu turut membantu mengurangkan kos pemasaran selain menyediakan lokasi jualan yang lebih selamat berbanding berniaga di tepi jalan.

LAWAT: Nizam berkesempatan melawat usahawan tani di tapak gerai berkenaan.

Beliau turut melihat potensi TKPM Tawau untuk dibangunkan sebagai destinasi agro pelancongan yang mampu menarik pelawat dari dalam dan luar negara.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Pertanian Sabah mengadakan perbincangan dengan MPT bagi meneroka peluang mempromosikan kawasan berkenaan sebagai produk pelancongan baharu di daerah itu.

Menurutnya, selain berfungsi sebagai pusat pengeluaran makanan, TKPM Tawau berpotensi menjadi lokasi tarikan pelancong yang ingin melihat sendiri aktiviti pertanian serta mendapatkan hasil pertanian segar terus daripada pengusaha.

Mengulas mengenai amaran cuaca panas dan fenomena El Nino yang dijangka memberi kesan kepada sektor pertanian, Nizam berkata pihak berkaitan sentiasa memantau perkembangan semasa bagi memastikan petani menerima maklumat dan panduan yang diperlukan.

Beliau berkata, langkah mitigasi yang bersesuaian akan terus disalurkan kepada petani bagi mengurangkan impak perubahan cuaca terhadap pengeluaran makanan di negeri ini.

“Cabaran cuaca sentiasa berubah dari semasa ke semasa, namun saya percaya agensi berkaitan mempunyai kepakaran dan mekanisme yang diperlukan untuk membantu petani mengurangkan kesannya terhadap pengeluaran hasil pertanian,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …