ALBUM: Jamawi (tengah) bergambar bersama sebahagian peserta selepas melancarkan pesta memancing berkenaan.
KOTA KINABALU: Penganjuran Pesta Memancing UMS-Sepanggar 2026 dilihat mampu menghidupkan semula aktiviti memancing sekali gus merancakkan ekonomi komuniti nelayan di Kampung Bangka-Bangka, di sini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kementeriannya menyokong penuh usaha berkenaan yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan komuniti nelayan tempatan.
Katanya, program itu menjadi langkah awal bagi menghidupkan semula aktiviti memancing yang sebelum ini terjejas sejak pandemik COVID-19.
“Ini baru permulaan. Pada masa akan datang kita merancang menggunakan bot nelayan kampung ini supaya peserta boleh turun ke lokasi memancing yang lebih sesuai.
“Dalam masa sama, nelayan tempatan juga dapat menjana pendapatan tambahan menerusi aktiviti ini,” katanya ketika melancarkan Pesta Memancing UMS-Sepanggar 2026, semalam.
Menurutnya, pihak kementerian akan terus bekerjasama dengan UMS serta Persatuan Nelayan Kampung Bangka-Bangka bagi memastikan aktiviti memancing dan perikanan di kawasan itu terus diperkasa.
PESERTA: Jamawi (tengah) bergambar bersama peserta yang berjaya memperoleh hasil tangkapan ikan terawal.
Beliau berkata, pertandingan itu turut memberi manfaat kepada mahasiswa apabila kira-kira RM10,000 disumbangkan bagi program dapur siswa untuk membantu pelajar kurang berkemampuan.
Katanya, sambutan diterima amat menggalakkan apabila seramai 300 peserta mengambil bahagian, melebihi sasaran awal 200 peserta.
“Peserta datang dari pelbagai kawasan termasuk Brunei, Labuan dan pedalaman Sabah.
“Malah ada peserta warga emas berumur lebih 60 tahun yang turut serta kerana minat mendalam terhadap aktiviti memancing,” katanya.
Jamawi berkata, kawasan perairan Kampung Bangka-Bangka sebelum ini terkenal sebagai lokasi memancing berpotensi tinggi selepas Jabatan Perikanan melepaskan tukun-tukun yang menjadikannya kawasan pemuliharaan ikan.
“Ada peserta memaklumkan mereka pernah memperoleh ikan merah dan ikan putih seberat empat hingga lima kilogram di kawasan ini, yang biasanya hanya diperoleh menerusi aktiviti memancing laut dalam,” katanya.
Beliau berharap usaha menghidupkan semula aktiviti memancing di kawasan berkenaan dapat diteruskan sekali gus memperkukuh sektor perikanan dan pelancongan rekreasi negeri ini.
Turut hadir Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS, Dr Rizal Zamani Idris dan Pensyarah Kanan Institut Marin Borneo (IMB) UMS, Dr Chong Wei Sheng.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



