UMS ANTARA UNIVERSITI KEUSAHAWANAN TERBAIK NEGARA

MENANG: UMS meraih hadiah kemenangan dalam empat kategori anugerah pada malam gemilang AKKPT’25.

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencatat pencapaian membanggakan pada Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2025 (AKKPT ’25) apabila meraih pengiktirafan dalam beberapa kategori anugerah yang dipertandingkan.

UMS yang terpilih sebagai finalis menerusi tujuh penyertaan bagi enam kategori anugerah tahun ini berjaya membawa pulang empat kategori anugerah dengan jumlah kemenangan hadiah keseluruhan bernilai RM65,000.

Dalam anugerah utama Institusi Terbaik (Universiti), UMS terpilih sebagai salah satu daripada lima finalis sekali gus membawa pulang hadiah RM30,000.

Anugerah disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kepada wakil UMS, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof Dr Raman Noordin dan Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan (CEDeC), Prof Madya Ts Dr Sidah Idris.

Bagi Anugerah Platform Digital Graduan Terbaik, Akademi Komuniti Utara yang diasaskan Herwan Manjanji @ Bidin dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) berjaya meraih tempat pertama sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Sementara itu, Timbalan Pengarah CEDeC merangkap Pensyarah Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Dr Nur Thara Atikah Zainal memperoleh tempat kedua bagi kategori Mentor Keusahawanan Terbaik dengan hadiah RM10,000.

Perusahaan Burger Bae yang diusahakan Muhammad Hafiz Irfan Rosli dari Fakulti Pengajian Islam dan Azzah Nublah Muhammad Saih dari Fakulti Sains dan Teknologi pula meraih tempat ketiga bagi Anugerah Perusahaan Graduan Terbaik sekali gus membawa pulang hadiah RM15,000.

Hadiah kemenangan bagi kategori anugerah itu disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Dr Aminuddin Hassim dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Ahmad Rizal Adnan.

Beberapa lagi penyertaan UMS turut mara sebagai finalis kebangsaan AKKPT ’25 antaranya projek Singgah Kopi Incubator dan Nutribliss bagi kategori Projek Keusahawanan Sosial Terbaik selain SAITO 23 dalam kategori Syarikat Pemula Pelajar Terbaik di bawah segmen Keusahawanan Digital dan Inovatif.

Pencapaian itu memperlihatkan kekuatan ekosistem keusahawanan UMS dalam melahirkan mahasiswa dan graduan yang kreatif, inovatif serta berdaya saing di peringkat nasional.

Dalam pada itu, Raman berkata kejayaan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa, graduan dan komuniti melalui pendekatan pendidikan yang holistik serta berorientasikan industri.

Katanya, kejayaan itu membuktikan ekosistem keusahawanan UMS berada pada landasan tepat dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, kreatif, inovatif serta mampu mencipta peluang pekerjaan melalui pendekatan keusahawanan mampan.

“Ini juga mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasa budaya keusahawanan sebagai antara agenda penting pendidikan tinggi negara.

“Pada masa sama, pencapaian ini selari dengan aspirasi KPT dalam melahirkan graduan berdaya cipta, inovatif dan berorientasikan pencipta pekerjaan sekali gus memperkukuhkan peranan UMS sebagai The Brain of Borneo dalam memacu pembangunan bakat berkualiti, inovasi dan keusahawanan berimpak tinggi di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan jumlah penyertaan UMS tahun ini berbanding edisi sebelumnya turut memperlihatkan keyakinan dan penglibatan aktif warga universiti dalam meneroka bidang keusahawanan merangkumi perusahaan graduan, memperkasa inovasi digital dan pembangunan sosial.

“UMS akan terus memperluas jaringan strategik bersama industri, agensi kerajaan dan komuniti bagi memastikan inisiatif keusahawanan yang dibangunkan bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar malah mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …