TAKLIMAT: Hajiji menerima taklimat semasa lawatan dan tinjauan kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Pakej WP25 di Sukau, hari ini.
SUKAU: Kerajaan negeri menegaskan keperluan penyelarasan lebih berkesan antara semua agensi berkaitan bagi memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dapat dilaksanakan mengikut jadual dan tidak terus berdepan kelewatan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, aspek penyelarasan dan tindakan segera di lapangan sangat penting bagi mengatasi pelbagai isu teknikal yang boleh menjejaskan kemajuan projek infrastruktur utama berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan kerja ke Pakej WP25 dalam perjalanan dari Sandakan ke Lahad Datu sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE), hari ini.
Dalam lawatan itu, Hajiji turut menerima taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) berkaitan status semasa projek WP25 yang melibatkan jajaran sepanjang 14.96 kilometer dari Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau.
Menurut taklimat berkenaan, kemajuan fizikal projek setakat ini direkodkan sekitar 12.35 peratus berbanding sasaran jadual asal 15.30 peratus, manakala kemajuan kewangan pula mencapai 11.52 peratus.
Projek bernilai kira-kira RM269.9 juta itu dijadualkan siap dalam tempoh 36 bulan dengan tarikh penyiapan pada Februari 2028.
Antara skop utama pembinaan termasuk pembinaan persimpangan bertingkat (flyover), hentian bas, jambatan pejalan kaki serta sistem perparitan dan culvert bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Bagaimanapun, beliau turut dimaklumkan mengenai beberapa kekangan utama di tapak yang menjejaskan kemajuan kerja termasuk isu pengalihan utiliti, pengambilan tanah serta perobohan struktur sedia ada.
Masalah utiliti dikenal pasti antara faktor utama yang memperlahankan kerja tanah selain cabaran logistik dan akses sementara di kawasan projek.
Selain WP25, Ketua Menteri turut diberi taklimat perkembangan Pakej WP24 yang melibatkan jajaran sepanjang 15.88 kilometer dari Sungai Takala ke Kampung Perpaduan Datuk Moh.
Bagi WP24, kemajuan fizikal setakat April 2026 direkodkan sekitar 15.60 peratus dengan sedikit kelewatan berbanding jadual asal.
Sehubungan itu, Hajiji menegaskan semua agensi berkaitan perlu mempercepatkan tindakan penyelesaian isu di lapangan termasuk pengambilan tanah dan pengalihan utiliti agar pelaksanaan projek tidak terus tertangguh.
“Kerajaan negeri komited memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara terancang, dipantau rapi dan disiapkan mengikut jadual demi manfaat rakyat,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



