Fitrah kehidupan manusia tidak lari dari masalah. Tidak kira masalah dengan individu lain, masalah rumah tangga, kewangan, perniagaan, hubungan dengan rakan sekerja dan sebagainya berkaitan.
Dalam mencari penyelesaian sesuatu masalah pelbagai cara dilakukan samada secara bersendiri, melalui bantuan pihak lain mahupun program-program motivasi, keagamaan dan seumpama dengannya.
Penularan satu doktrin berbahaya iaitu New Age di dalam institusi masyarakat dalam negara kita amat membimbangkan. Kini ia tidak lagi terhad kepada kumpulan-kumpulan kecil secara bersembunyi tetapi menyebarkan dengan cara menyelit fahaman ini melalui program-program motivasi, kesihatan mental, kekeluargaan dan juga perniagaan.
Kita pernah digemparkan sekitar pertengahan tahun 2025 berkaitan berita penahanan pasangan suami isteri pengasas program motivasi rumah tangga bersama empat individu lain untuk siasatan kes program motivasi rumah tangga songsang.
Mengambil iktibar dari apa yang berlaku dan dilaporkan, ternyata jalan untuk memilih suatu penyelesaian masalah, jalan untuk menaikkan motivasi diri dan keluarga seumpamanya telah dicemari dengan kaedah yang bercanggah dengan akidah Islam yang sewajibnya menjadi panduan dan pegangan.
Malahan doktrin ini meresap sampai ke program pemantapan kerjaya mahupun perniagaan yang mana penganjuran sesuatu program ini menarik minat peserta yang ramai dan memberi pulangan yang lumayan.
Penularan fahaman doktrin berbahaya ini antaranya seperti kebergantungan kepada kuasa diri yakni kuasa dalaman manusia yang tidak ada hadnya untuk mengubah nasib dan realiti hidup melalui pemikiran positif (konsep Law of Attraction). Hal ini adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam sebagai contoh kerana hanya Allah sahajalah yang berkuasa mengatur dan menentukan segala sesuatu.
Selain itu juga, dititipkan juga dalam fahaman doktrin ini antaranya unsur ramalan nasib dan kepercayaan tenaga ghaib dengan istilah aura/chakra yang mana menyimpang dan perbuatan tersebut dikategorikan syirik dan menjejaskan keimanan seseorang.
Seterusnya fahaman doktrin New Age ini juga mencampur adukkan kepercayaan agama-agama lain dan diterjemahkan atas nama amalan spiritual. Amalan spiritual ini tidak berlandaskan al Quran dan Sunnah tetapi sebaliknya mengikut kefahaman dan akal manusia yang terbatas dan kepositifan toksik.
Pengamalan meditasi bercampur aduk tanpa panduan syarak dan berdasarkan akal yang toksik menyebabkan gangguan mental emosi berlaku lalu membawa kepada kehancuran diri dan institusi keluarga.
Kesan negatif lain yang timbul dari fahaman doktrin ini seperti anti sains dan anti perubatan. Penolakan kepada vaksin atau ubatan hospital dan pemahaman bahawa penyakit boleh sembuh melalui kaedah frekuensi 528Hz sepertinya merupakan fahaman yang amat berbahaya.
Terdapat juga dalam fahaman ini pengaruh ‘spiritual bypass’ yang menjalar contohnya tekanan / depression tak perlu dirawat atau mendapatkan rawatan tapi cukup dengan cara fikir positif sahaja dan ini adalah suatu fahaman yang amat berbahaya.
Menelusuri fahaman negatif yang didedahkan, sebagai masyarakat, perlu berani berkata ‘tidak’ kepada motivasi yang menuntut kita menggadaikan kewarasan akal dan batas syariat.
Kesimpulannya fahaman doktrin ini diibaratkan sebilah pisau, boleh digunakan untuk potong sayur, boleh juga melukakan tangan. Pilihlah untuk menenangkan minda secara positif dan berani menolak falsafah ketuhanan yang melanggar akidah dan tauhid.
Disediakan : Mohamad Jazlan Sharif
Sumber :
Dr Luqman Mahmud, Bahaya doktrin New Age dalam ‘selimut’ kursus perniagaan. Utusan Malaysia – Utusan Malaysia.
Facebook: Majlis Agama Islam Selangor. ‘New Age Movement’ jejas akidah, hakis jati diri Muslim – Harian Metro
Buletin TV3 – Apakah New Age Movement? Ajaran, Amalan dan Isu Akidah – ecentral.my
Facebook – Ancaman Ajaran New Age Ke Dalam Program Motivasi



