PAMPASAN PEMILIK TANAH TERLIBAT PAN BORNEO DIBAYAR SECARA BERPERINGKAT

BINCANG: Joachim (kiri) berbincang bersama Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

KOTA KINABALU: Proses pengeluaran tawaran pampasan kepada pemilik lot tanah yang terlibat dengan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Parlimen Silam Lahad Datu (Pakej 19-23) sedang dilaksanakan dan bayaran akan dibuat secara berperingkat.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, bagi tanah bergeran, kerajaan sudah mengenal pasti dan mewartakan lot tanah yang mempunyai hak milik sah selaras dengan peruntukan Ordinan Pengambilan Tanah Sabah (Bab 69).

Katanya, pembayaran akan dilaksanakan oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah setelah semua dokumen persetujuan lengkap diterima daripada pemilik, dan bayaran akan dibuat secara berperingkat.

Menurutnya, bagi tanah kerajaan, pemberian pampasan adalah tertakluk kepada pengeluaran perintah oleh Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah Daerah.

“Sehingga kini, perintah rasmi masih belum dikeluarkan, dan oleh itu pembayaran belum dapat diproses.

“Bagi bangunan dan struktur yang berada dalam rizab jalan, tiada pembayaran sagu hati atau pampasan diberikan, selaras dengan dasar dan arahan agensi pelaksana,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohammad Yusof Apdal (WARISAN-Silam) mengenai status pembayaran bagi pampasan atau bayaran ihsan ganti rugi kepada pemilik tanah dan penduduk yang terlibat pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Lahad Datu dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Joachim berkata, bagi struktur yang berada dalam rizab selain rizab jalan (seperti rizab sungai, utiliti atau rizab agensi lain), pertimbangan bayaran saguhati boleh diberikan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan dan penilaian oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah berdasarkan garis panduan semasa.

“Kementerian ini mengesahkan bahawa peruntukan bagi pembayaran pampasan tanah dan struktur yang mempunyai hak milik sah telah disediakan.

“Peruntukan ini disalurkan kepada JTU Sabah bagi memastikan pembayaran kepada pemilik yang layak dapat dilaksanakan secara teratur, telus dan mengikut prosedur yang ditetapkan,” jelasnya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …