RAMPAS: Rokok seludup pelbagai jenama yang berjaya dirampas dalam operasi di perairan Tanjung Sironggol, Semporna.
SEMPORNA: Lebih 100,000 batang rokok seludup bernilai hampir RM70,000 berjaya dirampas dalam operasi di perairan Tanjung Sironggol, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, penyeludup bertindak nekad terjun ke laut dan meninggalkan bot bersama muatan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, rampasan dilakukan menerusi operasi bersepadu bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
Katanya, operasi dijalankan menggunakan Bot Cenderawasih 09 dalam Op Khas Cegah PTI (OCP) Covid-19 Sektor Timur serta Op Tiris 4.0 (Bersepadu).
“Pasukan operasi mengesan dua bot enjin sangkut dalam keadaan mencurigakan pada jarak kira-kira 0.5 dan 0.6 batu nautika di tenggara Tanjung Sironggol.
“Suspek bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan air cetek sebelum menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui tujuh kotak mengandungi rokok seludup pelbagai jenama.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM69,800 termasuk dua bot serta enjin sangkut 40 kuasa kuda,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
“Maritim Malaysia akan terus memperkukuh kawalan di perairan negara bagi mengekang jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin (PTI),” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



