LEBIH 50 PROGRAM WARNAI WRUR AYER KEROH, 100 ADUAN RAKYAT AKAN DISELESAIKAN

Ayer Keroh – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) siri ke-14 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh membuka tirainya bermula hari ini hingga 2 Mei 2026.

Istimewanya, penganjuran itu akan meneruskan konsep ‘Kampung Kita’ dengan Parlimen Hang Tuah Jaya menjadi kawasan seterusnya yang akan diisi dengan pelbagai program berkonsep turun padang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh Kerk Chee Yee berkata, sepanjang seminggu berlangsungnya WRUR DUN Ayer Keroh, lebih 50 program akan dilaksanakan di seluruh pelusuk kawasan membabitkan pengisian merentasi segenap lapisan masyarakat.

Beliau yang juga Timbalan Speaker DUN berkata, pihaknya juga telah menerima lebih 100 aduan dan permohonan daripada rakyat, di mana ia merangkumi aspek infrastruktur, perparitan dan pelbagai lagi yang memerlukan perhatian dan akan disantuni sebaiknya untuk diselesaikan.

“Walaupun WRUR DUN Ayer Keroh ini tidak melibatkan program yang banyak kerana bertindih dengan Persidangan Dewan Undangan Negeri yang berlangsung serentak, namun ia bukanlah satu kekurangan, sebaliknya kita percaya semua pengisian yang diatur memberi impak besar kepada rakyat di kawasan ini.

“WRUR ini merupakan sebuah platform terbaik bukan sahaja membabitkan program untuk rakyat, tetapi juga menghimpunkan pandangan, aduan serta aspirasi pelbagai lapisan masyarakat setempat.

“Aduan yang kita terima bukan sahaja aduan biasa tetapi ia turut merangkumi ‘wishlist’ komuniti membabitkan penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Keroh yang dirasmikan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran MADANI Taman Ayer Keroh Heights, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Chee Yee, antara program yang dirangka termasuklah aktiviti sukan dan rekreasi, program memancing, ziarah kasih bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi menyantuni golongan asnaf serta program mendekati anak-anak autisme.

Manakala dalam sudut aduan dan permohonan, beliau memaklumkan antara cadangan yang dikemukakan termasuk pembinaan bulatan (roundabout) di beberapa lokasi bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas, selain pembinaan jejantas bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

“Saya melihat WRUR ini memberi peluang kepada Kerajaan Negeri dan agensi terlibat untuk turun padang, mendengar sendiri suara rakyat serta merangka penyelesaian yang lebih berkesan,” katanya.

  • Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …