ARTHUR RASMI PELANCARAN INISIATIF SEKOLAH ANGKAT MADANI DAN PROGRAM CERDIK HIJAU

Arthur menyampaikan peruntukan khas RM100,000 kepada Sekolah Kebangsaan Kampung Biah.

KENINGAU: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, telah merasmikan pelancaran inisiatif Sekolah Angkat MADANI dan Program Cerdik Hijau di Sekolah Kebangsaan Kampung Biah di sini, baru-baru ini.

Inisiatif strategik ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dalam menterjemahkan kerangka Kerajaan MADANI kepada usaha pembangunan komuniti yang bersifat praktikal.

Program-program ini bertujuan merapatkan jurang infrastruktur pendidikan serta meningkatkan kualiti hidup komuniti luar bandar di Sabah melalui pendekatan yang inklusif dan mampan.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM100,000 bagi menyokong kerja-kerja penyelenggaraan serta naik taraf kemudahan asas sekolah.

Dana tersebut akan digunakan untuk pelaksanaan projek-projek penting, termasuk transformasi dewan sekolah sebagai pusat integrasi pelbagai guna serta pembinaan ruang menunggu pelajar yang lebih kondusif dan selamat.

Bersempena pelancaran tersebut, Program Cerdik Hijau diperkenalkan bagi memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan murid sebagai sebahagian daripada budaya pembelajaran mereka.

Program ini merangkumi aktiviti praktikal seperti inisiatif kitar semula serta pengenalan sistem pertanian hidroponik mini, yang menggalakkan murid mengamalkan amalan lestari sejak usia muda.

Inisiatif ini direka bagi melahirkan pelajar yang seimbang, bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga mempunyai kesedaran alam sekitar yang tinggi, selaras dengan usaha global dalam menangani cabaran perubahan iklim.

Arthur menegaskan bahawa pemerkasaan sektor pendidikan kekal sebagai keutamaan dalam agenda perkhidmatannya, khususnya dalam memastikan pelajar di kawasan luar bandar mendapat akses kepada pendidikan berkualiti serta mampu bersaing dalam dunia yang semakin moden tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Datuk P.Geol. Zamri Ramli, Pengarah Jabatan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin serta Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Biah, Usrah Abd Wahid.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …