Kucing merupakan haiwan peliharaan yang popular kerana sifatnya yang manja dan comel. Namun begitu, di sebalik kelebihan tersebut terdapat risiko terhadap keselamatan kesihatan manusia yang perlu diberi perhatian khususnya berkaitan dengan bulu kucing.
Salah satu risiko utama bulu kucing ialah reaksi alahan. Bulu kucing boleh membawa alergen seperti habuk, air liur, dan sel kulit mati yang boleh menyebabkan simptom seperti bersin, hidung berair, mata gatal, dan sesak nafas. Keadaan ini lebih serius bagi individu yang menghidap asma kerana pendedahan berterusan boleh memburukkan keadaan pernafasan mereka.
Selain itu, bulu kucing juga berpotensi menjadi agen pembawa kuman dan parasit seperti kutu dan hama. Jika kebersihan kucing tidak dijaga dengan baik, risiko jangkitan boleh meningkat terutamanya kepada kanak-kanak dan individu yang mempunyai sistem imun lemah. Hal ini menunjukkan bahawa penjagaan haiwan peliharaan amat penting bagi memastikan keselamatan Kesihatan terjaga. Ruangan udara dan persekitaran yang terdedah kepada bulu kucing yang gugur juga boleh menjejaskan kualiti udara. Campuran bulu dengan habuk boleh mencetuskan masalah pernafasan jika tidak dibersihkan secara berkala.
Justeru itu, bagi mengurangkan risiko ini, beberapa langkah pencegahan boleh diambil seperti memandikan kucing peliharaan secara berkala, memastikan kucing menjalani pemeriksaan Kesihatan dan membersihkan rumah dengan kerap menggunakan vacuum. Penggunaan penapis udara juga boleh membantu menapis habuk dan bulu halus di dalam rumah. Amalan mencuci tangan selepas menyentuh kucing dan menghadkan sentuhan bagi mereka yang mempunyai Alahan perlu diamalkan oleh semua pecinta haiwan comel ini.
Kesimpulannya, walaupun kucing memberikan manfaat kepada emosi kepada penjaganya, risiko terhadap keselamatan kesihatan akibat bulu kucing tidak boleh diabaikan dan dipandang ringan. Penjagaan rapi dan langkah pencegahan yang konsisten amat penting untuk memastikan kesejahteraan manusia dan haiwan peliharaan sentiasa terjamin.
Sumber: https://www.halodoc.com/artikel/bahaya-bulu-kucing-fakta-penting-dan-cara-aman



