Laporan ini membentangkan statistik nilai kerugian banjir di Malaysia pada tahun 2025. Maklumat yang diperoleh adalah daripada survei khas impak banjir yang dijalankan bermula dari Januari hingga Disember 2025. Nilai kerugian banjir yang dilaporkan merangkumi nilai kerosakan tempat kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan industri pembuatan. Jumlah kerosakan bagi industri pertanian, aset awam dan infrastruktur adalah dinilai menggunakan maklumat yang diumumkan oleh agensi Kerajaan yang berkaitan.
Pada tahun 2025, nilai kerugian keseluruhan akibat banjir berjumlah RM636.9 juta (2024: RM933.4 juta) bersamaan 0.03 peratus (2024: 0.05%) berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar nominal (KDNK). Nilai kerugian ini meliputi kerosakan tempat kediaman sebanyak RM183.8 juta (2024: RM372.2 juta), kenderaan berjumlah RM6.8 juta (2024: RM17.3 juta), premis perniagaan bernilai RM13.4 juta (2024: RM54.1 juta), pembuatan dengan RM0.1 juta (2024: RM1.2 juta), pertanian RM52.6 juta (2024: RM185.2 juta) dan aset awam & infrastruktur sebanyak RM380.2 juta (2024: RM303.4 juta)
Pada tahun 2025, semua negeri di Malaysia telah terjejas akibat banjir, dengan Terengganu mencatatkan nilai kerugian tertinggi sebanyak RM89.2 juta (2024: RM182.0 juta). Ini diikuti oleh Kelantan dan Johor yang merekodkan kerugian sebanyak RM88.5 juta (2024: RM263.0 juta) dan RM72.1 juta (2024: RM59.0 juta). Selain itu, Sarawak, Sabah dan Selangor juga merupakan antara negeri yang mencatatkan nilai kerugian tertinggi, masing-masing sebanyak RM61.2 juta (2024: RM27.4 juta), RM58.4 juta (2024: RM36.8 juta) dan RM52.9 juta (2024: RM22.6 juta).
Sarawak mencatatkan nilai kerugian tertinggi bagi kerosakan tempat kediaman iaitu RM32.6 juta (2024: RM2.2 juta). Seterusnya Sabah merekodkan RM27.7 juta kerugian (2024: RM17.3 juta) dan Johor sebanyak RM26.2 juta (2024: RM21.3 juta). Pahang merekodkan nilai kerugian kerosakan tempat kediaman keempat tertinggi dengan jumlah RM18.8 juta (2024: RM11.0 juta). Ini diikuti oleh Kelantan dan Perak dengan masing-masing mencatatkan nilai kerugian sebanyak RM15.6 juta (2024: RM139.0 juta) dan RM15.3 juta (2024: RM12.2 juta).
Bagi kerosakan kenderaan akibat banjir, Sabah merekodkan nilai kerugian tertinggi sebanyak RM1.3 juta pada tahun 2025 (2024: RM0.7 juta), diikuti oleh Johor dengan RM0.9 juta (2024: RM2.1 juta). Sarawak, Pahang dan Perak antara negeri yang mencatatkan nilai kerugian yang tinggi masing-masing sebanyak RM0.8 juta (2024: RM0.2 juta), RM0.7 juta (2024: RM0.9 juta) dan RM0.6 juta (2024: RM0.7 juta). Pada tahun 2025, Terengganu merekodkan nilai kerugian kenderaan yang menurun iaitu RM0.4 juta berbanding yang direkodkan pada tahun 2024 iaitu RM5.8 juta. Ini diikuti oleh Kelantan sebanyak RM0.5 juta (2024: RM4.0 juta) dan Kedah sebanyak RM0.4 juta (2024: RM2.1 juta).
Pada tahun 2025, sebanyak 14 negeri mengalami kerugian akibat kerosakan premis perniagaan berikutan bencana banjir yang melanda negara. Premis perniagaan di Sarawak merekodkan nilai kerugian tertinggi iaitu RM2.7 juta (2024: RM0.2 juta), diiikuti Johor yang mencatat nilai kerugian sebanyak RM2.1 juta (2024: RM3.4 juta). Selain itu, Sabah, Kedah dan Pahang adalah antara lima negeri yang merekodkan nilai kerugian tertinggi bagi premis perniagaan, masing-masing berjumlah RM1.8 juta (2024: RM1.2 juta), RM1.3 juta (2024: RM4.3 juta) dan RM1.3 juta (2024: RM0.4 juta)
Pada tahun 2025, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mencatatkan kerugian dalam sektor Pembuatan akibat banjir iaitu sebanyak RM0.1 juta (2024: RM0.1 juta). Kelantan yang mencatatkan kerugian sektor pembuatan sebanyak RM1.1 juta pada tahun 2024, tidak terkesan pada tahun 2025.
Johor merupakan negeri yang paling terkesan akibat banjir bagi sektor Pertanian pada 2025, dengan kerugian berjumlah RM13.0 juta (2024: RM2.4 juta). Ini diikuti oleh Selangor dan Kedah yang masing-masing merekodkan kerugian sebanyak RM9.6 juta (2024: RM1.9 juta) dan RM5.0 juta (2024: RM118.2 juta). Sarawak dan Melaka merupakan negeri yang paling kurang terjejas akibat banjir bagi kategori ini apabila masing-masing mencatatkan RM0.2 juta (2024: RM0.5 juta) dan RM0.5 juta (2024: RM0.5 juta).
Pada tahun 2025, Aset Awam dan Infrastuktur mencatatkan kerugian kerosakan tertinggi akibat banjir. Terengganu mengalami kerugian tertinggi iaitu sebanyak RM71.8 juta (2024: RM49.9 juta), diikuti oleh Kelantan berjumlah RM67.1 juta (2024: RM48.1 juta). Johor pula mencatatkan kerugian ketiga tertinggi berjumlah RM29.8 juta (2024: RM29.7 juta). Selangor, Sarawak dan Sabah turut merekodkan kerugian yang tinggi, masing-masing sebanyak RM26.6 juta (2024: RM13.8 juta), RM25.0 juta (2024: RM24.3 juta) dan RM24.0 juta (2024: RM16.9 juta).
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia



