12 PATI DITAHAN DALAM OPS SAPU DI SETIU DAN BESUT

Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) lelaki berjaya ditahan dalam satu operasi bersepadu menerusi Ops Sapu yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu di beberapa lokasi sekitar daerah Setiu dan Besut, pada 6 April lalu.

Operasi yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Kawalan), PPK Mat Amin bin Hassan itu melibatkan pemeriksaan ke atas sembilan premis dan lokasi berbeza. Sepanjang operasi dijalankan, seramai 60 individu telah diperiksa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara.

Hasil pemeriksaan mendapati 12 lelaki warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen. Mereka terdiri daripada warga Indonesia (empat orang), India (dua), China (satu), Bangladesh (dua) dan Pakistan (tiga), dengan lingkungan umur antara 30 hingga 46 tahun.

Selain tangkapan, pihak imigresen turut mengeluarkan dua saman saksi bagi membantu siasatan lanjut berkaitan kes yang dikesan.

Antara lokasi yang diserbu termasuk dua buah homestay di Kampung Bari Kecik, beberapa rumah kediaman di Kampung Fikri, Kampung Pok Wong serta Sungai Tong, selain sebuah rumah kongsi di Kampung Tok Dor. Turut diperiksa ialah rumah dan pondok di Kampung Payong serta sebuah rumah berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Pelong.

Kesemua individu yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Mereka telah dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk tindakan lanjut.

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan warga asing mematuhi syarat pas yang ditetapkan, di samping menjamin keselamatan dan kesejahteraan awam.

Sumber: Laman facebook rasmi Jabatan Imigresen Negeri Terengganu

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …