RAMPAS: Juragan bersama barangan kawalan yang dirampas dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.
TAWAU: Taktik penyeludupan secara kecil-kecilan tetapi dilakukan berulang kali akhirnya terbongkar apabila sebuah bot kargo tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.
Bot berkenaan dipintas kira-kira jam 12.40 tengah hari pada kedudukan 1.5 batu nautika di utara Muara Sungai Aji Kuning ketika sedang bergerak laju menuju ke Pulau Sebatik dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 14 kotak minyak paket bersubsidi dan enam gelen bahan api dianggarkan 120 liter tanpa permit sah.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati, bot berkenaan dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun.
“Siasatan lanjut kemudian mendapati juragan berkenaan tidak berdaftar dalam lesen bot yang digunakan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, situasi itu menimbulkan syak berlaku pelanggaran undang-undang berkaitan kawalan bekalan dan perkapalan tempatan.
“Susulan itu, juragan bersama bot serta muatan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002,” katanya.
Dalam pada itu, Ariffin memaklumkan pihaknya turut menyita bot kargo, enjin serta muatan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM43,000.
Beliau berkata, penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan khususnya di perairan Tawau yang dikenal pasti sebagai kawasan panas aktiviti penyeludupan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



