SELUDUP: Juragan bersama 30 tong LPG yang dirampas dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.
TAWAU: Cubaan menyeludup keluar 30 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke negara jiran berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi di perairan Tawau, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan berhubung pergerakan mencurigakan sebuah bot di kawasan berkenaan.
Katanya, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Pluto Timur dan Op Tiris kemudian digerakkan ke lokasi bagi memintas bot terbabit.
“Bot kargo itu dikesan bergerak keluar dari kawasan Jeti Batu 3 menuju ke Pulau Sebatik kira-kira jam 6.20 pagi sebelum berjaya ditahan pada kedudukan 1.6 batu nautika selatan Batu 3.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang juragan lelaki warga tempatan berusia 36 tahun membawa 30 tong LPG berisi tanpa sebarang permit sah dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut turut mendapati juragan terbabit tidak mempunyai daftar nama dalam lesen bot berkenaan.
“Juragan bersama bot serta muatan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.
Menurutnya, semua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan LPG disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM30,000.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan terus memperketat pemantauan terhadap ketirisan barangan bersubsidi terutama di lokasi ‘hotspot’ susulan taktik sindiket yang memilih waktu sunyi bagi mengelak dikesan penguat kuasa.
“Penguatkuasaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang khususnya di perairan Tawau.
“Maritim Malaysia memandang serius sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan aset rondaan sentiasa bersiap sedia untuk digerakkan pada bila-bila masa,” katanya.
Sehubungan itu, Ariffin berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut diminta menyalurkan maklumat ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



