RAMPAS: Suspek bersama semua minyak petrol yang ditemukan dirampas untuk tindakan lanjut.
SEMPORNA: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki membawa sejumlah besar minyak petrol tanpa dokumen sah dalam Operasi Bersepadu Intra/Inter (Op Taring ESSZONE – Op Taring Bravo 1), di perairan daerah ini, semalam.
Operasi itu dijalankan pasukan Komtak Mabul Kompeni A Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna, hasil maklumat risikan.
Menurut kenyataan Batalion 22 PGA Kunak, anggota operasi mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sebelum memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan menjalankan pemeriksaan ke atas lelaki terbabit.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut ke atas bot menemukan 69 gelen berisi minyak petrol serta satu gelen mengandungi campuran petrol dan minyak 2T,” menurut kenyataan itu.
Suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kelulusan untuk menyimpan, memiliki atau membawa bahan berkenaan.
Lelaki itu kemudian ditahan bersama barang rampasan sebelum diserahkan kepada pihak KPDN Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM75,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pihak Batalion 22 PGA Kunak menegaskan komitmen untuk terus mempergiat risikan serta membanteras kegiatan menyalahi undang-undang di kawasan ESSZONE.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



