RASMI: Masidi selepas menandatangani plak perasmian, bersama Saifuddin (tiga kanan) dan Susan (dua kiri).
PAPAR: Daerah Papar dilihat mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai lokasi persinggahan utama bagi pelawat dan pengguna jalan raya dari negara Brunei serta negeri Sarawak, khususnya selepas projek Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kedudukan strategik Papar yang terletak di laluan utama lebuh raya berkenaan menjadikannya antara kawasan berpotensi tinggi menerima kehadiran pelawat luar.
Katanya, apabila Pan Borneo siap kelak, masa perjalanan ke Kota Kinabalu akan menjadi lebih singkat, sekali gus meningkatkan lagi aliran trafik dan kunjungan ke daerah berkenaan.
“Perancangan rapi serta pelaksanaan pembangunan yang tersusun adalah penting bagi memastikan Papar bukan sahaja menjadi tempat persinggahan, malah berkembang sebagai destinasi yang mampu menarik lebih ramai pengunjung pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Famous Salim Nasi Kandar di Bandar Benoni, di sini, hari ini.
Menurutnya, pembangunan di Papar bukan sahaja akan memperkukuh keterhubungan antara daerah, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk tempatan menerusi aktiviti perniagaan, perkhidmatan dan sektor pelancongan.
“Dengan kesiapsiagaan infrastruktur serta penambahbaikan kemudahan asas, Papar mampu menawarkan pelbagai fasiliti termasuk kawasan rehat, pusat komersial serta produk pelancongan tempatan yang menarik.
“Pembangunan fasiliti baharu termasuk kemudahan awam, kawasan komersial dan inisiatif pelancongan akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, sekali gus meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru peniaga tempatan khususnya golongan Bumiputera agar menguruskan kewangan perniagaan dengan berhemah serta berdisiplin.
“Kepentingan menyimpan modal dan membuat caruman untuk pelaburan semula dalam perniagaan perlu diberi perhatian bagi memperkukuh kedudukan ekonomi dan menjana pendapatan lebih lumayan pada masa hadapan.
“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan persekitaran serta mengamalkan gaya hidup sihat bagi memastikan tahap kesihatan terpelihara dan mengelakkan penularan penyakit,” katanya.
Sementara itu, Masidi memuji pembukaan cawangan baharu restoran berkenaan yang disifatkan memenuhi kriteria ditetapkan khususnya dari aspek kebersihan dan penyediaan makanan.
“Syabas dan tahniah atas pembukaan cawangan baharu di sini. Ia bukan sahaja memperkembangkan perniagaan, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri ADUN Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra; ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim; Pengarah Urusan Famous Salim Nasi Kandar (M) Sdn Bhd Ajulahin Japin serta Pengarah Urusan WSG Properties Sdn Bhd Datuk Susan Wong Siew Guen.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



