SUMBANGAN: Hajiji menyampaikan sumbangan kuih raya kepada Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menegaskan komitmen memperkukuh aspek keselamatan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah di dalam pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, potensi Sabah sebagai hab ekonomi biru di rantau Asean Timur amat besar berdasarkan kekayaan biodiversiti laut serta kedudukan strategik di laluan perdagangan serantau.
Katanya, dalam kerangka SMJ 2.0, sektor maritim dan ekonomi biru dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan baharu negeri.
“Melalui perancangan ini, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan industri perikanan moden, pengukuhan rantaian nilai makanan laut, pengembangan pelancongan marin serta peningkatan infrastruktur pelabuhan.
“Selain itu, pembangunan bandar pesisir dan sempadan juga diberi perhatian sebagai hab ekonomi baharu negeri,” katanya.
KENANGAN: Hajiji bersama isteri Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag (tengah) bergambar bersama semasa majlis terbabit.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kuih muih Hari Raya Aidilfitri kepada anggota pasukan keselamatan serta petugas kesihatan di Menara Kinabalu di sini.
“Semua potensi berkenaan hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya keselamatan perairan negeri sentiasa berada pada tahap terjamin.
“Tanpa keselamatan yang stabil, pelaburan dalam sektor maritim, pelancongan laut serta industri makanan laut sukar berkembang dengan baik,” katanya.
Hajiji berkata, Sabah mempunyai kedudukan strategik dengan garis pantai melebihi 1,400 kilometer.
Dalam konteks keselamatan negara, katanya, Sabah menjadi barisan hadapan Malaysia di Borneo dan di Laut Sulu sekali gus meletakkan negeri ini sebagai pintu ekonomi maritim Malaysia di rantau berkenaan.
Beliau berkata, kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) meliputi 10 daerah utama iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
“Kawasan berkenaan diperkukuh melalui peranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang menyelaras operasi keselamatan darat, laut serta udara di Pantai Timur Sabah.
“Kewujudan ESSCOM juga menjadi simbol kedaulatan negara di Sabah Timur,” katanya.
KESELAMATAN: Hajiji bersama isteri Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag bergambar bersama penerima sumbangan daripada pasukan keselamatan dan sektor kesihatan.
Menurutnya, pengukuhan keselamatan bukan sekadar melindungi rakyat, malah membuka ruang kepada pembangunan bandar sempadan sebagai pintu ekonomi baharu negeri.
Katanya, pembangunan itu merangkumi aktiviti perdagangan rentas sempadan, logistik, pelabuhan serta industri berasaskan sumber laut.
Selain keselamatan fizikal, Hajiji berkata kesejahteraan negeri turut bergantung kepada tahap keselamatan kesihatan rakyat.
Beliau berkata, kerajaan negeri menghargai komitmen petugas kesihatan yang terus berusaha menangani penyakit berjangkit termasuk tuberkulosis (TB) yang masih menjadi cabaran kesihatan awam di Sabah.
Katanya, usaha pengesanan awal, rawatan berterusan serta program kesedaran kesihatan penting bagi melindungi komuniti terutama di kawasan luar bandar dan pesisir.
“Golongan barisan hadapan memikul tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan masyarakat terus terpelihara.
“Kerajaan negeri sentiasa menghargai jasa bakti pasukan keselamatan yang berkorban masa, jiwa serta tenaga bagi memastikan persempadanan negara sentiasa terkawal dan selamat.
“Sumbangan kuih muih Hari Raya yang diserahkan ini menjadi tanda ingatan serta penghargaan kepada mereka,” katanya.
Beliau berharap sumbangan berkenaan dapat menceriakan suasana bertugas serta menjadi pembakar semangat kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi menjaga kedaulatan, keselamatan serta kesejahteraan rakyat dan negara.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



