RAMPAS: Semua tong gas LPG dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.
TAWAU: Cubaan menyeludup keluar 60 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke negara jiran digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi di perairan Tawau, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, suspek dipercayai melarikan diri dengan terjun ke laut selepas bot yang membawa muatan gas berkenaan cuba dipintas oleh bot peronda Maritim Malaysia.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, pihaknya menerima maklumat risikan mengenai pergerakan mencurigakan sebuah bot yang disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan di kawasan berkenaan.
Katanya, bot peronda yang menjalankan Op Pagar Laut dan Op Tiris kemudian digerakkan ke lokasi bagi memintas bot terbabit yang dikesan bergerak keluar dari kawasan Jeti Batu 3 menuju ke Pulau Sebatik.
“Semasa cubaan memintas dilakukan, juragan bot berkenaan bertindak berpatah balik menuju ke pesisir pantai sebelum terjun meninggalkan bot bersama muatan bagi melarikan diri.
“Pemeriksaan lanjut terhadap bot kargo itu menemukan 60 tong gas LPG berisi yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, bot bersama semua muatan dirampas sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot kargo, enjin bot serta muatan dianggarkan berjumlah RM53,800,” katanya.
Beliau berkata, menjelang musim perayaan biasanya berlaku peningkatan permintaan barangan keperluan dari Tawau oleh pasaran luar, sekali gus mendorong sindiket mengambil kesempatan menjalankan kegiatan penyeludupan.
“Modus operandi mereka ialah bergerak pada waktu sunyi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Ariffin berkata, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan di perairan Tawau bagi membanteras jenayah rentas sempadan terutama menjelang musim perayaan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



