EMPAT DITAHAN CURI KABEL BAWAH TANAH DI TAMBUNAN

TAHAN: Suspek menunjukkan lokasi kabel bawah tanah yang dicuri.

KENINGAU: Taktik sekumpulan individu menarik kabel bawah tanah milik sebuah syarikat telekomunikasi menggunakan kenderaan terbongkar apabila mereka dicekup polis dalam serbuan awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi di kawasan semak tepi jalan Kampung Mogong – Tangaban, Tambunan, empat suspek termasuk seorang wanita ditahan ketika dipercayai sedang melakukan kegiatan mencuri dan membinasakan kabel telekomunikasi.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, tangkapan dibuat hasil intipan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau selepas menerima maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di lokasi berkenaan.

“Pasukan serbuan berjaya menahan seorang suspek di lokasi kejadian sebelum hasil soal siasat dan pandu arah membawa kepada penahanan tiga lagi rakan suspek di kawasan berasingan.

“Semua suspek berusia antara 29 hingga 49 tahun dan tidak bekerja,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, polis turut merampas 16 barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan itu termasuk chainlock, rantai besi, spanar boleh laras, pemutar skru, tukul besi, pemotong kabel, besi kuku kambing, beberapa gulung kabel serta sebuah kereta Proton Persona.

Yampil berkata, siasatan awal mendapati kumpulan itu dipercayai aktif mencuri kabel di sekitar Tambunan dan Keningau.

“Modus operandi digunakan ialah dengan menarik kabel bawah tanah menggunakan kenderaan yang dipasang peralatan besi bagi memudahkan kabel ditarik keluar sepenuhnya.

“Hasil jualan kabel curi kemudian dibahagikan sama rata sesama mereka,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan itu turut dipercayai menyasarkan kabel bawah tanah yang mempunyai kandungan logam lebih padat kerana nilai jualannya lebih tinggi, selain menjalankan kegiatan pada waktu malam hingga awal pagi bagi mengelak dikesan.

Katanya, semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai 16 rekod jenayah lampau dan 10 kes berkaitan narkotik, manakala seorang lagi individu dikehendaki polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan memotong atau merosakkan kabel komunikasi.

“Permohonan reman akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …