TAKLIMAT: Nizam (tengah) mendengar penerangan daripada Timbalan Presiden MPT, Mohd Shoffian Mohd Said, semasa lawatan ke lokasi kejadian.
TAWAU: Keperluan mewujudkan balai bomba dan penyelamat di kawasan Apas Balung perlu diberi perhatian serius susulan pertumbuhan pesat pembangunan serta peningkatan jumlah penduduk di kawasan berkenaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata cadangan pembinaan fasiliti itu sebenarnya sudah ada dalam perancangan sebelum ini dan kini wajar dipercepatkan pelaksanaannya.
Beliau berkata, kedudukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau yang terletak di pusat bandar dilihat agak jauh untuk memberikan respons pantas sekiranya berlaku kejadian kecemasan, khususnya kebakaran di kawasan Apas dan Balung.
“Dengan pembangunan yang semakin pesat membabitkan kawasan perumahan, premis perniagaan, bangunan kerajaan serta aktiviti ekonomi yang terus berkembang, kewujudan balai bomba di kawasan ini menjadi satu keperluan mendesak.
“Kita berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi perhatian serius terhadap perkara ini kerana ia membabitkan soal keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian selepas melakukan lawatan ke tapak kebakaran di Simpang Batu 15 Jalan Apas, pagi tadi yang membabitkan 18 gerai musnah dalam kejadian baru-baru ini.
Mengulas kejadian itu, beliau memaklumkan ketika insiden berlaku, beliau sedang menunaikan ibadah umrah dan sebaik menerima maklumat, arahan segera diberikan kepada pegawainya khususnya Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Apas untuk turun membantu mangsa.
Katanya, bantuan disalurkan melalui kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang diketuai Majlis Perbandaran Tawau (MPT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Bantuan yang saya sampaikan hari ini berupa sumbangan wang tunai serta kurma sempena Ramadan sebagai tanda keprihatinan dan sedikit bantuan untuk meringankan beban peniaga yang terjejas.
“Kita akan terus memantau dan melihat keperluan bantuan susulan jika perlu,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada dalam aspek keselamatan, terutama ketika melakukan penyambungan elektrik, membina struktur kediaman atau premis perniagaan serta menggunakan peralatan elektrik dan dapur gas.
Menurutnya, setiap struktur yang dibina perlu mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan risiko kebakaran selain memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya telah meminta MPT mengadakan perbincangan bersama Jabatan Tanah dan Ukur serta Jabatan Kerja Raya (JKR) memandangkan lokasi kejadian terletak di rizab jalan.
“Perbincangan itu penting bagi meneliti status tapak serta menentukan hala tuju pengurusan kawasan berkenaan agar lebih teratur dan memberi manfaat kepada peniaga dan masyarakat setempat.
“Kita menunggu laporan lengkap hasil perbincangan sebelum tindakan susulan diambil,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



