PRIHATIN: Nizam berkesempatan beramah mesra dengan jemaah yang hadir berbuka puasa di masjid berkenaan.
TAWAU: Program jelajah Ramadan yang dilaksanakan setiap tahun menjadi medium penting dalam mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat selain mengimarahkan bulan penuh keberkatan dengan pelbagai aktiviti keagamaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pendekatan turun padang menerusi majlis berbuka puasa, solat berjemaah dan solat tarawih bersama komuniti memberi ruang kepada pemimpin mendekati rakyat secara lebih dekat.
Beliau berkata, program yang dianjurkan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas bersama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Apas itu bertujuan memupuk semangat kebersamaan sepanjang Ramadan.
“Alhamdulillah, kita masih dipanjangkan umur untuk menunaikan ibadah puasa dan dapat bersama masyarakat mengimarahkan masjid.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, kita melaksanakan jelajah Ramadan di seluruh kawasan Apas dan pada kali ini kita bermula di Masjid Kampung Titingan Babul Khair sebelum meneruskan ke pusat daerah mengundi (PDM) lain,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika hadir dalam Majlis Berbuka Puasa dan Tarawih bersama penduduk Kampung Titingan, di sini, malam tadi.
Menurutnya, selain merapatkan silaturahim, program itu juga menjadi platform untuk pemimpin mendapatkan maklumat secara terus daripada rakyat mengenai isu serta keperluan di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, pendekatan itu penting kerana membolehkan pihaknya memahami sendiri kekangan yang dihadapi masyarakat sebelum mengambil tindakan atau mencari penyelesaian yang bersesuaian.
“Kaedah seperti ini amat signifikan kerana kita dapat memperoleh maklumat yang tepat dan jelas daripada rakyat.
“Dengan adanya kefahaman serta komunikasi dua hala antara pemimpin dan masyarakat, segala permasalahan dapat ditangani dengan lebih baik,” katanya.

SUMBANGAN: Nizam menyampaikan sumbangan kepada pusat kelas KAFA dan tahfiz di kampung berkenaan.
Mengulas mengenai kepentingan program seumpama itu dalam memastikan negara terus berada dalam keadaan aman dan sejahtera, beliau menegaskan interaksi berterusan antara pemimpin dan rakyat mampu memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Katanya, amalan berbuka puasa dan beraktiviti bersama komuniti bukan sekadar tradisi, malah menjadi medium memupuk toleransi serta persefahaman demi memastikan keharmonian terus terpelihara.
Dalam program sama, sumbangan turut disampaikan kepada pusat kelas KAFA dan pusat tahfiz di Blok 5 Laut Kampung Titingan sebagai tanda sokongan terhadap usaha membimbing serta mendidik generasi muda dalam memahami dan mendalami al-Quran.
Beliau berharap bantuan itu dapat memberi manfaat serta menyuntik semangat kepada badan pengurusan untuk terus mempertingkatkan program keagamaan demi kebaikan anak-anak setempat.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



