POLIS ‘SERBU’ LUMBA LARI HARAM, DADAH DAN KETUM TURUT DIKESAN

SERBU: Aktiviti lumba lari haram berkenaan diserbu hasil maklumat awam dan risikan.

KENINGAU: Aktiviti lumba lari haram yang dipercayai dianjurkan di atas jalan raya awam di Bandar Baru Bataras, di sini, bukan sahaja mengganggu ketenteraman, malah dikesan turut melibatkan penyalahgunaan dadah dan minuman ketum.

Perkara itu terbongkar selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Bersepadu lewat malam Sabtu hingga awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, operasi bermula jam 11.30 malam hingga 3 pagi itu dijalankan hasil maklumat awam serta risikan berhubung penganjuran aktiviti tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Katanya, seramai 36 pegawai dan anggota membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah, Siasatan Jenayah Narkotik, Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Cawangan Khas serta KDNKA terlibat dalam operasi berkenaan.

“Semasa operasi dijalankan, didapati acara itu dihadiri sejumlah remaja dan belia.

“Hasil pemeriksaan menemukan bahan disyaki dadah jenis methamphetamine serta minuman disyaki air ketum,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, seorang lelaki ditahan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Selain itu, katanya, seramai 10 lelaki turut ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bahagian Trafik turut mengeluarkan 25 saman atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi. Secara keseluruhan, 130 individu dan 105 kenderaan diperiksa,” katanya.

Yampil berkata, tindakan penguatkuasaan bukan untuk menghalang aktiviti sukan, sebaliknya memastikan sebarang program dianjurkan secara sah dan mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Menurutnya, aktiviti di atas jalan raya awam tanpa kebenaran, selain dipercayai melibatkan unsur pertaruhan wang dan penyalahgunaan bahan terlarang, boleh mendedahkan orang ramai kepada risiko keselamatan.

“Jalan raya adalah kemudahan awam. Sebarang aktiviti yang mengganggu aliran trafik atau membahayakan pengguna lain adalah satu kesalahan dan tindakan tegas akan diambil.

“IPD Keningau komited menjalankan tugas secara profesional dan tanpa kompromi bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …