Air merupakan keperluan asas yang sangat penting untuk memastikan tubuh badan berfungsi dengan baik. Kekurangan air atau dehidrasi boleh menjejaskan kesihatan jika tidak ditangani dengan segera. Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan seseorang itu mengalami kurang air dalam badan.
Antara tanda utama ialah rasa dahaga yang berlebihan. Apabila badan kekurangan air, otak akan menghantar isyarat supaya kita minum dengan segera. Jika rasa dahaga dibiarkan berpanjangan, keadaan dehidrasi boleh menjadi lebih serius, dimana mulut rasa kering, Lidah melekit, bibir nampak pecah dan kering.
Selain itu, seseorang yang kurang air mungkin berasa letih dan lemah. Air membantu membawa oksigen dan nutrien ke seluruh badan. Apabila badan tidak mendapat air yang mencukupi, tenaga akan berkurangan dan menyebabkan keletihan, mengantuk dan kurang fokus.
Seterusnya, sakit kepala juga boleh berlaku akibat dehidrasi. Kekurangan air menyebabkan pengecutan sementara pada tisu otak, lalu mencetuskan rasa sakit atau pening kepala.
Di samping itu, warna air kencing yang lebih pekat juga merupakan tanda kurang air. Air kencing yang normal biasanya berwarna jernih atau kuning cair. Namun, jika warnanya menjadi kuning gelap atau berbau kuat, ini menunjukkan badan memerlukan lebih banyak air.
Akhir sekali, kulit menjadi kering dan kurang anjal. Air membantu mengekalkan kelembapan kulit. Tanpa pengambilan air yang mencukupi, kulit kelihatan kusam dan tidak bermaya.
Kesimpulannya, kita hendaklah minum air secukupnya setiap hari bagi mengelakkan masalah kesihatan akibat kekurangan air. Mencegah lebih baik daripada mengubati.
Sumber: KKM



