LIMA TERAS UTAMA BELANJAWAN SABAH, SEIRING USAHA PERCEPAT PEMBANGUNAN

KENANGAN: Masidi (duduk, lima kiri) bersama tetamu jemputan merakamkan kenangan bergambar bersama selepas majlis itu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meletakkan lima tonggak utama dalam Belanjawan Sabah 2026 berteraskan kepada usaha mempercepatkan pembangunan, merapatkan jurang sosioekonomi serta mengutamakan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, lima keutamaan ini merangkumi usaha mempercepatkan sektor-sektor produktif bagi merangsang pertumbuhan dan mengukuhkan hasil negeri serta menangani ketidakseimbangan sosioekonomi agar pembangunan lebih inklusif.

Katanya, Belanjawan Sabah juga memperkasa modal insan melalui pengetahuan, kemahiran, produktiviti dan inovasi serta menjadi pemudah cara dalam pembangunan infrastruktur asas, utiliti serta kemudahan awam.

Pada masa sama katanya, kerajaan juga komited dalam meningkatkan keupayaan dan keberkesanan penyampaian kerajaan secara cekap dan telus.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perbincangan Meja Bulat Belanjawan Sabah 2026 dan Majlis Makan Malam anjuran Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang mengumpulkan wakil sektor perniagaan, kewangan, industri, masyarakat dan komuniti umum di sini pada Selasa.

Masidi berkata, Belanjawan Sabah 2026 bukan sekadar dokumen kewangan, sebaliknya keutamaan kerajaan dalam pelan pelaksanaan yang berdisiplin serta kontrak sosial dengan rakyat Sabah.

Menurutnya, ketidaktentuan persekitaran global akibat geseran perdagangan, risiko geopolitik dan gangguan berkaitan iklim terus memberi kesan terhadap kos, rantaian bekalan dan sentimen pelabur.

“Di peringkat nasional pula, pertumbuhan dijangka kekal stabil namun semakin kompetitif, sekali gus menuntut Sabah bertindak secara berhemat, proaktif dan berfokus.

“Keutamaan kita adalah melindungi kedudukan fiskal negeri, mempercepatkan pembangunan berimpak tinggi serta memastikan manfaatnya dirasai oleh rakyat biasa,” katanya.

Beliau berkata, dari sudut fiskal, Belanjawan Sabah 2026 mencadangkan Anggaran Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM6.402 bilion dengan Anggaran Hasil RM6.430 bilion, sekali gus menghasilkan lebihan sederhana sebanyak RM28 juta.

Katanya, lebihan itu turut mencerminkan disiplin fiskal kerajaan negeri untuk berbelanja mengikut kemampuan sambil terus melabur demi masa depan.

“Kerajaan negeri juga meneruskan peralihan ke arah perbelanjaan berasaskan pembangunan, termasuk usaha merapatkan jurang antara perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan bagi menangani isu-isu asas seperti bekalan air, jalan raya, elektrik, akses dan perhubungan.

“Bagi 2026, perbelanjaan pembangunan sebanyak RM1.865 bilion dicadangkan dan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Sabah diluluskan siling peruntukan pembangunan sebanyak RM12.02 bilion untuk membiayai 1,173 projek pembangunan, iaitu peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan negeri.

“Kita juga memberi tumpuan kepada pertanian, industri dan pelancongan sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi manakala, aspek keselamatan makanan terus menjadi keutamaan melalui sokongan kepada petani, nelayan dan penternak, khususnya di kawasan luar bandar,” jelasnya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kewangan Datuk Mohd Ishak  Ayub; Pengarah Perbendaharaan dan Pasaran BIMB Azdini Nor Azman dan Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Securities Dr Rosnani Rasul.

 

 #MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …