PENERANGAN: Joniston (tengah) mendengar penerangan mengenai Program BE in Sabah oleh Presiden Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen serta Pameran Malaysia (MACEOS) Datuk Dr M Gandhi (kanan) sempena perasmian Forum Antarabangsa ‘BE in Sabah’ Kali Ketiga 2026 hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengiktiraf penganjuran acara perniagaan (BE) sebagai pemacu penting agenda ekonomi dan pembangunan Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, BE turut berperanan sebagai platform berfokus yang merangsang pertumbuhan industri, memudah cara perbincangan pelaburan serta menggalakkan penyertaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, golongan profesional dan bakat muda.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong pelaksanaan program seumpama BE di negeri ini yang selari dengan hala tuju ekonomi Sabah, memperkukuh penglibatan serantau dan juga dialog pelaburan.
“Kerajaan akan memanfaatkan platform ini untuk memperluaskan kerjasama rentas sempadan dan menghubungkan keupayaan serantau dengan rangkaian global.
“Seiring perubahan jangkaan global, hala tuju Sabah kekal jelas dan berfokus. Ia juga akan terus meningkatkan piawaian serta menyusun perkongsian dengan memberi keutamaan kepada pelaksanaan dan penyampaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Forum Antarabangsa ‘BE in Sabah’ Kali Ketiga 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini. Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata, hasil yang dicapai melalui program BE amat penting seiring dengan usaha mencapai pertumbuhan yang inklusif, seimbang, realistik dan mampan di Sabah.
Menurutnya, Ia selaras dengan strategi pembangunan Sabah yang berteraskan kestabilan, tadbir urus baik dan penciptaan nilai jangka panjang.
“Kita memahami bahawa keyakinan dan kepercayaan pelabur antarabangsa bukan sekadar terhasil daripada pengumuman, tetapi melalui dasar yang konsisten, hala tuju yang jelas dan pelaksanaan yang boleh dipercayai.
“Dalam konteks ini, BE bertindak sebagai jambatan strategik antara dasar dan pelaksanaan, kepakaran global dan keupayaan tempatan serta penyampaian.
“Sehubungan itu, platform seperti BE di Sabah menyediakan peluang penting untuk penglibatan secara langsung dengan peneraju industri antarabangsa, di samping meningkatkan keupayaan dan kecanggihan ekosistem tempatan negeri,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, Sabah berada pada kedudukan strategik dalam ASEAN Timur, sebuah sub-rantau yang dicirikan oleh kepentingan ekonomi bersama, kekuatan yang saling melengkapi dan potensi kerjasama yang besar.
Beliau berkata, kerajaan turut komited terhadap penglibatan konstruktif dalam landskap serantau ini yang memperkukuh hubungan, memupuk perkongsian serta menyokong platform berimpak yang menghasilkan impak praktikal.
Menurutnya, penganjuran BE di SICC iaitu sebuah kemudahan yang dibina khas dan berkeupayaan menganjurkan perhimpunan berskala besar, mencerminkan komitmen Sabah untuk meningkatkan kesiapsiagaan perkhidmatan.
Pada masa sama katanya, ia juga menambah baik penyelarasan institusi dan memperkukuh keupayaan industri bagi memastikan setiap acara menampilkan kecemerlangan dan profesionalisme.
“Biro Konvensyen Sabah (SCB), yang beroperasi di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), turut memperkukuh persekitaran pemudah cara ini dengan bekerjasama rapat dengan industri bagi mewujudkan pihak yang boleh dipercayai untuk acara di peringkat antarabangsa.
“Kepada delegasi antarabangsa, Sabah bersedia dan siap siaga untuk penglibatan semua wakil begitu juga kepada rakan tempatan dan serantau, forum ini mencerminkan pendekatan kerajaan negeri yang berteraskan piawaian serta komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap penyampaian perkhidmatan,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



