AMANAH, PASAK KECEMERLANGAN PERKHIDMATAN AWAM NEGERI MELAKA

Seri Negeri – Penjawat awam Negeri Melaka perlu memiliki kesanggupan dan tanggungjawab mendalam ketika melaksanakan amanah dipikul bagi meningkatkan lagi tahap kualiti sistem penyampaian kepada rakyat, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad.

Azhar berkata, pada awal amanat selaku Setiausaha Kerajaan Negeri, beliau memperkenalkan konsep ‘Bekerja Semudah A.B.C.’ iaitu Amanah, Betul dan Cepat.

Katanya perkara yang mendasari konsep A.B.C ialah nilai amanah itu sendiri yang menjadi pasak kepada perkhidmatan.

“Saya ingin menekankan enam aspek penting yang perlu ada dalam diri penjawat awam Negeri Melaka yang diambil daripada semangat A.B.C. itu sendiri iaitu akronim A.M.A.N.A.H.

“A-Adaptasi, M-Muafakat, A-Ambil tahu, N-Nilai positif, A-Antarabangsa dan H-Hijrah. Pertama Adaptasi menuntut semua penjawat awam untuk sentiasa cakna akan dasar-dasar dan segala perancangan digariskan oleh pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam membawa hala tuju nusa ini ke arah yang lebih baik.

“Kedua adalah Muafakat iaitu melaksanakan sesuatu perkara secara bersama dengan penuh rasa kekitaan, sesuatu agenda itu tidak harus dilaksanakan secara ‘silo’. Ketiga Ambil Tahu, menjadi tanggungjawab semua penjawat awam untuk mengambil tahu harapan ini dalam memenuhi segala aspirasi tersebut dengan baik dan berhikmah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat YB Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Tahun Baharu 2026 bertemakan Melaksanakan Amanah, Memacu Reformasi di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Khairul Azreem Mamat, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, Ketua Jabatan Negeri serta Persekutuan.

Menurutnya, keempat adalah menitikberatkan Nilai Positif yang menjadi asas kepada pembinaan budaya perkhidmatan yang bitara dan komprehensif.

“Kelima Antarabangsa, bagi menggamit dunia, penjawat awam di negeri ini harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Dalam hal ini saya menyeru kepada semua Ketua Jabatan untuk memastikan tuan-tuan dan puan-puan serta anak buah di bawah seliaan masing-masing untuk menghadiri sekurang-kurangnya 40 jam latihan dalam setahun.

“Terakhir adalah Hijrah, penggunaan pelbagai saluran seperti media sosial dan hebahan komunikasi lain mesti digerakkan dengan komprehensif dan berkesan agar rakyat memahami aspirasi dan hijrah yang ingin dibawa oleh pihak kerajaan,” katanya.

Tambah beliau lagi, bagi memperkukuhkan gerak kerja perkhidmatan awam negeri, maka lima teras utama di bawah akronim M.E.S.R.A. diperkenalkan sebagai cerminan kepada tekad Melaka Sayang Rakyat iaitu M- Mendengar dengan empati, E- Efisien dalam tindakan, S- Solutif, bukan defensif, R- Responsif terhadap keperluan rakyat dan A- Amanah dalam setiap tindakan.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …