RAMPAS: Mohd Haris menunjukkan barangan yang dirampas semasa penahanan suspek.
KUDAT: Polis menumpaskan kegiatan pecah rumah dan curi di daerah ini selepas lima lelaki ditahan dalam beberapa serbuan berasingan sekali gus membongkar penglibatan kumpulan berkenaan dalam sekurang-kurangnya 13 kes jenayah sekitar Kudat.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, kejayaan operasi hasil tindakan bersepadu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat bersama pasukan khas yang digerakkan bermula 1 Januari lalu antara jam 4 hingga 5.30 petang.
Katanya, serbuan dijalankan di dua lokasi iaitu di hadapan bangunan KO-Nelayan serta di tepi Jalan Pantai Bak-Bak.
“Dua lelaki ditahan dalam serbuan awal selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan curi di sekitar daerah ini.
“Hasil risikan lanjut membawa kepada tangkapan susulan dua lagi lelaki pada 4 Januari di Kampung Tanjung Kapor serta Jalan Pinangsoo,” katanya.
Katanya, seorang lagi suspek terakhir ditahan keesokan hari di sebuah stesen minyak di Jalan Tamalang.
“Penahanan kelima-lima suspek membantu polis menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi yang aktif sejak awal tahun ini.
“Polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua suspek mengaku terlibat dalam sekurang-kurangnya 13 kes di sekitar Kudat.
Menurutnya, enam kertas siasatan sudah menerima arahan pertuduhan daripada pihak pendakwaan.
“Ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada lima suspek positif dadah jenis syabu atau methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, Seksyen 379 dan 380 kerana mencuri serta Seksyen 447 kerana menceroboh,” katanya.
Mohd Haris menegaskan polis tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu keselamatan awam.
Katanya, operasi pencegahan jenayah dan rondaan berkala terus dipergiat bagi memastikan keselamatan komuniti sentiasa terpelihara.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan keadaan persekitaran serta mengambil langkah keselamatan tambahan di kediaman masing-masing.
“Kerjasama masyarakat amat penting, salurkan maklumat berkaitan jenayah kepada Polis Daerah Kudat supaya tindakan segera boleh diambil,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



