PENGEDAR DITAHAN BERSAMA SYABU LEBIH 50 GRAM DI SEMPORNA

RAMPAS: Dadah jenis syabu milik suspek yang berjaya dirampas dalam operasi berkenaan.

SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing disyaki pengedar dadah ditahan bersama lebih 50 gram dadah jenis syabu di Kampung Batu, di sini, semalam.

Suspek berusia 32 tahun itu diberkas kira-kira jam 10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah, berkata pihaknya menjalankan Operasi Tapis selepas menerima maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di kampung berkenaan

Katanya, pasukan operasi mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menghampiri suspek yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan, namun berjaya diberkas.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki dadah jenis syabu seberat 51.13 gram yang disimpan dalam bungkusan plastik hitam dan berada dalam genggaman tangannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek terbabit merupakan warga asing dan hasil ujian saringan air kencing mendapati positif Amphetamine dan Methamphetamine.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, Tan menegaskan polis akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah narkotik di daerah ini demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya generasi muda di Semporna.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta tampil menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran,” katanya.

 

 #MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

Projek Naik Taraf Gerai Tok Lam

Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu (ICU JPM Terengganu) bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terus komited memantau kelancaran projek menaik …

MARDI Perketat SOP Keselamatan Ladang

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengambil langkah segera memperketat Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan di seluruh stesen penyelidikannya …

PERANGKAAN DEMOGRAFI MALAYSIA, SUKU TAHUN KETIGA 2026

Penduduk Malaysia dianggarkan 34.4 juta pada suku tahun ketiga 2026 berbanding 34.3 juta pada suku tahun ketiga 2025 dengan pertumbuhan …