Pada tanggal 16 Januari, dalam tahun 2009, Kementerian Pelajaran bersetuju menukar nama Institut Perguruan Kuala Terengganu kepada nama baharu iaitu Institut Perguruan Dato’ Razali Ismail manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar ditukar nama kepada SMK Dato’ Razali Ismail sebagai mengenang jasa bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Dato’ Razali Ismail. Pemasyhuran nama baharu ini disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Legasi Allahyarham Dato’ Razali Ismail dalam pendidikan bermula pada 16 Januari 1974 sebagai seorang guru dan memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengarah Maktab Perguruan Kuala Terengganu, Pengarah Jabatan Pelajaran Kuala Terengganu, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru dan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. Sesungguhnya, pengiktirafan ini telah menaikkan martabat guru yang banyak mengorbankan waktu untuk mendidik anak bangsa demi masa depan para pewaris negara ini.
Sumber: Arkib Negara Malaysia



