OPERASI: Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis.
KENINGAU: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti rafting di kawasan sungai Kabulongou Earth Sepulut, di sini.
Mangsa berusia lingkungan 40-an ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi sungai sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan Rudy Mekii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 12.40 tengah hari menerusi talian balai.
“Sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 53 kilometer dari balai.
“Pasukan bomba menghadapi kesukaran untuk ke lokasi kejadian berikutan laluan sempit dan keadaan jalan yang tidak berturap,” katanya.
Katanya, sebaik tiba di lokasi pada jam 2.45 petang, pihaknya menerima maklumat bahawa mangsa sudah dijumpai oleh orang awam di tepi sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan bomba seterusnya bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam sungai sebelum pemeriksaan dilakukan oleh pihak KKM.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi membabitkan kekuatan seramai 12 anggota BBP Nabawan itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang.
Turut terlibat dalam operasi ialah agensi lain termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan KKM.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



