PPM RAMPAS LEBIH 95,000 LITER PETROL DAN DIESEL DALAM SERBUAN DI PITAS

RAMPAS: Bekalan minyak yang dirampas semasa serbuan terbabit.

KOTA MARUDU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menggagalkan kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi selepas menyerbu sebuah lori tangki dan sebuah kapal dalam operasi khas di kawasan Bengkoka, di sini.

Dalam serbuan itu, pemeriksaan mendapati sebuah lori tangki yang dipandu lelaki tempatan membawa kira-kira 13,900 liter petrol, manakala sebuah kapal dikenali sebagai B Trade 1 mengandungi anggaran 80,000 liter petrol serta kira-kira 1,350 liter diesel.

Semua bahan api berkenaan disyaki diseleweng tanpa kelulusan sah sebelum dirampas bagi tindakan lanjut.

Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Superintendan Jaffri Bidin berkata, operasi dijalankan hasil maklumat risikan sebelum sepasukan pegawai Unit Risikan Marin melakukan pemantauan kira-kira jam 12.14 tengah malam.

Menurutnya, lori tangki berkenaan dikesan dan diekori sebelum disyaki memindahkan petrol ke kapal terbabit, lalu tindakan serbuan segera dilaksanakan.

“Pemeriksaan di dalam kapal menemukan empat kru termasuk seorang juragan, dengan juragan warga tempatan manakala tiga kru lain warga asing tanpa sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Beliau berkata, semua individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kelulusan atau kebenaran aktiviti bunkering daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurutnya, dua individu bersama barang rampasan diserahkan kepada KPDN untuk tindakan lanjut, manakala tiga warga asing tanpa dokumen diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat bagi siasatan seterusnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969,” katanya.

Dalam pada itu, Jaffri menegaskan komitmen berterusan PPM dalam membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan bahan api bersubsidi demi kepentingan negara serta keselamatan perairan Sabah.

 

 #MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …