MARITIM MALAYSIA SABAH CATAT HAMPIR RM50 JUTA NILAI RAMPASAN SEPANJANG 2025

KHAIRULANWAR

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan merekodkan 273 kes tangkapan dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM48.5 juta sepanjang 2025 hasil penguatkuasaan berterusan serta pelaksanaan operasi bersepadu di perairan negeri ini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, nilai rampasan itu melibatkan pelbagai kes berprofil tinggi termasuk penyeludupan dadah, minuman keras dan rokok, penahanan bot nelayan Vietnam, selain rampasan barangan mengikut Akta Kawalan Bekalan seperti minyak masak, beras dan petrol.

“Sepanjang tempoh sama, Maritim Malaysia Sabah dan Labuan melaksanakan sebanyak 59,119 pemeriksaan serta 28,320 penggeledahan di seluruh perairan negeri, sekali gus mencerminkan tahap kesiapsiagaan tinggi agensi dalam membanteras jenayah maritim serta pelanggaran undang-undang.

“Bagi memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan, pelbagai operasi dan latihan bersama antara agensi digerakkan termasuk Op Naga Sabah, Op MARDOF, selain eksesais Search and Rescue Exercise (SAREX) dan Maritime Mass Rescue Operation (MMRO),” katanya.

Katanya, pendekatan bersepadu itu bertujuan meningkatkan koordinasi antara agensi, memperkukuh keupayaan tindak balas serta memastikan kesiapsiagaan berterusan dalam menghadapi sebarang ancaman keselamatan maritim di perairan Sabah dan Labuan.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairulanuar turut memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) sepanjang tahun lalu merekodkan 23 kes dengan seramai 244 mangsa berjaya diselamatkan, melibatkan anggaran nilai harta diselamatkan berjumlah RM23.1 juta.

“Kejayaan ini mencerminkan kecekapan pasukan CARILAMAT Maritim Malaysia dalam melaksanakan operasi secara pantas, tersusun dan berkesan walaupun berdepan cabaran cuaca serta keadaan laut yang tidak menentu.

“Selain penguatkuasaan dan operasi CARILAMAT, Maritim Sabah dan Labuan turut mencatat beberapa perkembangan penting sepanjang tahun lalu, termasuk penempatan sebuah kapal pemberian United States Coast Guard (USCG) iaitu Ex-USCG Cutter Steadfast di perairan negeri ini.

“Pembangunan infrastruktur turut diperkasa menerusi penerimaan separa siap Kompleks Zon Maritim Semporna yang dijangka meningkatkan kecekapan operasi serta kebajikan anggota di kawasan pantai timur Sabah.

“Dalam masa sama, pengambilan pertama Pasukan Kadet Maritim (PASKAM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilihat sebagai langkah strategik melahirkan modal insan berkualiti serta menyemai minat generasi muda dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan maritim,” katanya.

Khairulanuar berkata, pelaksanaan Program Jelajah MADANI yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjadi antara pencapaian signifikan sepanjang tahun lalu dengan tumpuan kepada pengukuhan hubungan kerajaan bersama komuniti maritim setempat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan dicapai sepanjang tahun lalu lahir daripada komitmen tinggi seluruh warga Maritim Sabah dan Labuan disokong kerjasama erat agensi keselamatan lain serta sokongan padu masyarakat.

Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh kesiapsiagaan operasi, meningkatkan keupayaan aset dan modal insan, selain mempererat kerjasama antara agensi bagi memastikan keselamatan perairan, kesejahteraan komuniti maritim dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta menyeru masyarakat supaya terus menyalurkan maklumat dan memberi sokongan dalam usaha memelihara keselamatan perairan negara.

 

 #MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …