1,399 MANGSA BANJIR DITEMPATKAN DI PPS BEAUFORT, TENOM, KOTA BELUD

PPS: Salah satu PPS yang dibuka bagi menempatkan mangsa banjir dan bencana.

KOTA KINABALU: Seramai 1,399 mangsa banjir daripada 488 keluarga kini ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di Beaufort, Tenom dan Kota Belud susulan keadaan banjir yang semakin buruk sejak awal pagi ini.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 435 mangsa daripada 154 keluarga yang direkodkan malam tadi, hasil pertambahan pemindahan di daerah Beaufort dan Tenom.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri setakat awal pagi ini, seramai 587 mangsa daripada 198 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Beaufort.

Dua PPS berkenaan ialah Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon yang menempatkan 359 mangsa dan Pusat Pemindahan Sementara Dewan Residensi Prima Woodford Estate dengan 228 mangsa.

Di Tenom, seramai 535 mangsa daripada 198 keluarga dipindahkan ke empat PPS setakat jam 8 pagi ini susulan paras air sungai yang meningkat dan menenggelami kawasan penempatan penduduk.

Sementara itu, Kota Belud mencatat pemindahan seramai 277 mangsa daripada 94 keluarga yang ditempatkan di dua PPS setakat ini.

Dalam perkembangan berasingan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Putatan mengisytiharkan berlakunya bencana kebakaran di daerah itu pada jam 8.30 pagi hari ini.

Pengisytiharan bencana berkenaan dibuat oleh Pegawai Daerah Putatan, Masawi bin Haji Salleh selaku Pengerusi JPBD Putatan berdasarkan laporan dan maklumat lapangan yang diterima daripada agensi terlibat.

Susulan itu, JPBD Putatan turut mengisytiharkan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara Dewan Sri Keramat pada jam 8.30 pagi bagi menempatkan penduduk terjejas bencana.

Menurut kenyataan JPBD Putatan, PPS berkenaan diaktifkan selepas pemeriksaan mendapati kawasan dan kediaman penduduk terlibat tidak selamat untuk didiami.

Pihak berkuasa terus memantau situasi banjir dan bencana di seluruh negeri serta menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

 

 #MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

WANITA CEKAL JADI MALIM GUNUNG

KUALA TERENGGANU: Hujan, laluan licin, pacat, keletihan malah berdepan kepala air dan gajah bukan alasan bagi dua malim gunung wanita …

KENALI MALAYSIA KITA!

Malaysia bukan sekadar tanah tempat kita berpijak, tetapi penuh dengan sejarah, simbol dan identiti yang membentuk negara kita hari ini …

PROSES MEMBAWA KELUAR FAIL DARI PEJABAT SEMASA TEMPOH HARI BEKERJA HIBRID (HBH)

Pengurusan dan kawalan pergerakan fail merupakan elemen penting dalam memastikan keselamatan, kerahsiaan dan integriti rekod kerajaan sentiasa terpelihara, khususnya semasa …