Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menetapkan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial sebagai berdaftar di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkuat kuasa 1 Januari 2026 dilihat signifikan dalam memperkukuh pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866). Pendekatan ini menandakan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, beretika dan bertanggungjawab.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyambut baik langkah yang diambil MCMC itu, dengan menyifatkannya sebagai satu mekanisme penting bagi memastikan penyedia perkhidmatan digital beroperasi secara teratur di bawah kerangka kawal selia negara. Pada masa sama, ia dilaksanakan tanpa menjejaskan kesinambungan operasi platform global yang digunakan secara meluas oleh rakyat Malaysia.
Menurut BHEUU, langkah tersebut mencerminkan prinsip akauntabiliti yang menjadi teras kepada Akta 866, iaitu memastikan setiap penyedia perkhidmatan mempunyai tanggungjawab yang jelas terhadap keselamatan pengguna. Penekanan utama diberikan kepada perlindungan golongan rentan, khususnya kanak-kanak, daripada pelbagai ancaman dalam talian seperti buli siber, penipuan kewangan, eksploitasi seksual serta penyebaran kandungan yang memudaratkan.
Sehubungan itu, BHEUU memaklumkan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan MCMC, kementerian serta agensi berkaitan, selain melibatkan pihak berkepentingan lain bagi memastikan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 berjalan secara berfasa, telus dan berkesan. Antara mekanisme penting yang digerakkan ialah Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian di bawah seliaan BHEUU JPM, yang ditubuhkan khusus di bawah akta tersebut.
Terdahulu, MCMC memaklumkan bahawa semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia, dan tertakluk kepada kerangka pelesenan di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), akan disifatkan sebagai berdaftar melalui pengetepian formaliti pendaftaran di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Pendekatan “deeming” ini bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar beroperasi secara konsisten dan berkesan dalam kerangka perundangan negara.
Langkah tersebut juga dilihat selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025, sekali gus mengukuhkan tahap akauntabiliti dan pematuhan terhadap undang-undang Malaysia. Secara keseluruhannya, inisiatif ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam menangani cabaran keselamatan digital yang semakin kompleks seiring dengan perkembangan teknologi dan penggunaan media sosial yang meluas.
Sumber: Buletintv3



