Isu air cetek ditambah dengan kekurangan infrastruktur di pelabuhan Chendering dan jeti-jeti perikanan menjadi antara faktor yang merencatkan perkembangan industri perikanan Terengganu yang dahulunya rancak beroperasi dan dapat menjana ekonomi negeri.
Isu utamanya ialah mendapan pasir dan kedhaifan infrastruktur menyebabkan satu-satunya pelabuhan perikanan di negeri Terengganu ini bukan lagi pilihan utama sebagai tempat berlabuh dan mendaratkan hasil tangkapan.
Benting pasir yang terjadi memberi kesukaran kepada bot-bot besar nelayan untuk masuk terus ke jeti sekaligus menjadikan Pelabuhan ini menjadi suram, hanya bot-bot kecil sahaja yang mampu menghampiri jeti tersebut buat sekian lamanya.
Ini menyebabkan bot-bot besar beralih kepada pelabuhan negeri lain seperti Pelabuhan Tok Bali dan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan walaupun hasil tangkapannya adalah di perairan Terengganu.
Manakala infrastruktur di dalam Kawasan pelabuhan tersebut juga kelihatan uzur dan kosong serta terdapat beberapa kerangka bangunan yang masih setia menanti rebah, masih terpacak di situ untuk beberapa dekad lalu mencacatkan pemandangan pelabuhan tersebut. Sekaligus ia menjadikan pelabuhan itu kelihatan menyeramkan.
Ia secara tak langsung mengundang pelbagai isu seperti jenayah dan keselamatan awam terganggu.
Setelah melalui pelbagai proses yang agak panjang dan rumit, akhirnya pada 27 Februari 2023 Kementerian Ekonomi telah meluluskan RM192 juta untuk Projek Pembangunan dan Pemerkasaan Pelabuhan LKIM Chendering.
Bagi melaksanakan projek itu, dua Jabatan Teknikal (SO Projek) dilantik iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk kerja-kerja di kawasan air dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kawasan daratan.
Pihak JKR telah selesai kerja-kerja pengukuran topografi dan pemetaan utiliti manakala kerja-kerja ukur hidrografi dan ukur topografi JPS telah bermula pada 1 Oktober 2024 sehingga Januari 2025.
Projek ini terdiri dari 2 fasa. Fasa pertama adalah kerja-kerja di daratan oleh JKR dan fasa kedua kerja-kerja dalam air oleh JPS.
Kerja-kerja di daratan merangkumi skop menaik taraf infrastruktur pelabuhan manakala kerja-kerja dalam air merangkumi skop merobohkan jeti sedia ada, pengorekan untuk mendalamkan pelabuhan serta menaiktaraf dan membina benteng pemecah ombak.
Peringkat Makmal Kajian Nilai (Value Assesment-VA) telah selesai manakala Makmal Kejuruteraan Nilai (Value Engineering-VE) dijadualkan pada Januari 2025.
Dengan siapnya kerja-kerja ini, akan dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan Pelabuhan LKIM Chendering.
https://www.trdi.my/pelabuhan-lkim-chendering-naik-taraf



