ALBUM: Brig Jen Jagjit dan Kolonel Green bergambar bersama pegawai serta anggota yang menyertai Eksesais Tiger Gold 2025.
TAWAU: Hubungan pertahanan Malaysia dan United Kingdom terus diperkukuh melalui pelaksanaan Eksesais Tiger Gold 2025, yang melibatkan Briged Ke-13 Infantri Malaysia (13 Bgd) dan 2nd Battalion, The Royal Gurkha Rifles dari Tentera Darat United Kingdom.
Upacara pembukaan rasmi latihan berkenaan diadakan di Padang Kawad, Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (26 RAMD), Kem Kukusan, Tawau, hari ini disempurnakan oleh Panglima Briged Ke-13, Brigedier Jeneral Datuk Jagjit Singh Indar Singh.
Brig Jen Jagjit berkata, latihan bersama itu menandakan pengukuhan semula hubungan ketenteraan Malaysia – UK selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2018.
“Ini latihan pertama yang dijalankan antara Briged Ke-13 dan Tentera Darat United Kingdom. Ia memberi tumpuan kepada konsep operasi peperangan melawan insurgensi di kawasan perhutanan atau Conventional Insurgency Warfare (CIW),” katanya.
RASMI: Brig Jen Jagjit dan Kolonel Green melakukan gimik pembukaan Eksesais Tiger Gold 2025.
Beliau berkata, latihan itu turut menjadi platform penting untuk bertukar kepakaran taktikal dan doktrin ketenteraan antara dua pasukan, khususnya dalam konteks operasi hutan yang sinonim dengan pengalaman Tentera Darat Malaysia.
“Kita mahu tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia masih menjadi antara negara paling berjaya menumpaskan ancaman komunis suatu ketika dahulu.
“Eksesais ini memberi peluang kepada kedua-dua pasukan menilai dan memperbaiki kelemahan agar dapat memperkukuh kerjasama pada masa hadapan,” jelasnya.
Menurutnya, hampir 400 anggota tentera terlibat dalam latihan kali ini, termasuk dua pegawai dan 32 anggota lain-lain pangkat dari Tentera Darat United Kingdom.
BENDERA: Simbolik penyerahan bendera 2 RGR kepada CO 26 RAMD.
Selain aspek taktikal, Brig Jen Jagjit berkata latihan itu juga memperkukuh hubungan diplomatik dan silaturahim antara dua angkatan tentera.
“Kita bukan sekadar berlatih, tetapi juga berpeluang memahami budaya dan cara kerja masing-masing supaya kerjasama ini kekal erat.
“Ia penting untuk memastikan kedua-dua negara mampu bertindak bersama sekiranya berdepan sebarang ancaman keselamatan,” katanya.
PANGKAT: Brig Jen Jagjit melaksanakan upacara pemakaian pangkat pegawai.
Sementara itu, Penasihat Pertahanan, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Kolonel James Green, menyifatkan Eksesais Tiger Gold sebagai simbol hubungan strategik dan kepercayaan antara kedua-dua negara.
“United Kingdom dan Malaysia mempunyai sejarah panjang kerjasama pertahanan melalui Five Power Defence Arrangements (FPDA).
“Latihan ini memperkukuh keupayaan kita memahami cara operasi masing-masing dan membina kepercayaan antara dua pasukan,” katanya.
Beliau berkata, struktur dan tradisi Tentera Darat Malaysia yang mirip dengan Tentera Darat British memudahkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam pelbagai medan operasi.
“Kami banyak belajar daripada Tentera Darat Malaysia terutama dalam aspek peperangan hutan, manakala mereka boleh mempelajari pengalaman kami daripada konflik di Eropah seperti di Ukraine.
“Hubungan ini bukan sahaja tentang ketenteraan, tetapi juga tentang membina kepercayaan antara dua negara,” katanya.
TOHA: Brig Jen Jagjit melaksanakan upacara pemakaian Toha.
Kolonel Green berkata, bahawa persahabatan dan kepercayaan antara anggota tentera menjadi asas kepada hubungan yang lebih luas meliputi aspek ekonomi, diplomasi dan keselamatan serantau.
“Apabila pegawai dan anggota kita boleh bekerja bersama dengan baik, ia memberi keyakinan kepada rakyat bahawa dua negara ini mampu saling menyokong dalam pelbagai bidang,” katanya.
Eksesais Tiger Gold 2025 dijangka berlangsung selama 10 hari dengan pelbagai latihan taktikal dan simulasi pertempuran di kawasan hutan sekitar Tawau, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesiapsiagaan Tentera Darat Malaysia menghadapi ancaman insurgensi moden.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



