RAMPAS: Suspek dan semua barangan ubat-ubatan dibawa ke Jeti Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.
TAWAU: Cubaan seorang juragan bot kargo tempatan membawa pelbagai produk kesihatan dan ubat-ubatan terkawal tanpa dokumen sah gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, bot kargo berkenaan dikesan kapal peronda KM KIDURONG yang sedang menjalankan rondaan Op Sejahtera dan Op Tiris di perairan Tawau menuju ke Wallace Bay.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot berkenaan ditahan pada kedudukan 1.1 batu nautika utara Sungai Salipar selepas dilihat bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 55 tahun bertindak sebagai juragan bot terbabit.
“Pemeriksaan lanjut menemukan beberapa kotak disorokkan dalam ruang simpanan bot mengandungi produk kesihatan dan ubat-ubatan terkawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, juragan terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran atau pengisytiharan kastam yang sah berkaitan muatan dibawa.
“Juragan bersama bot, enjin dan barangan dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM71,000
“Siasatan dijalankan mengikut Akta Kastam 1967 serta Akta Jualan Dadah 1952, Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya
Beliau tidak menolak kemungkinan barangan terbabit cuba diseludup keluar ke negara jiran bagi memenuhi permintaan pasaran luar.
“Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan di kawasan panas terutama di perairan Sabah Timur bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan,” katanya.
Ariffin turut meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau 999 untuk tindakan segera.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



