OPS BERSEPADU:JIM TERENGGANU LAKSANA KERJASAMA BERSAMA AGENSI PENGUATKUASAAN DI PULAU PERHENTIAN

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu dengan kerjasama Bahagian Risikan & Operasi Khas Ibu Pejabat JIM Putrajaya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu, Pejabat Taman Laut Negeri Terengganu serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Terengganu telah melaksanakan Ops Bersepadu di sekitar Pulau Perhentian pada 29 September 2025.

Sebanyak sembilan premis telah diperiksa melibatkan seramai 99 individu pelbagai warganegara. Hasil pemeriksaan, seramai 10 PATI berumur antara 23 hingga 40 tahun telah ditahan. Mereka terdiri daripada lima lelaki warga Bangladesh, empat lelaki warga Pakistan serta seorang lelaki warga Myanmar.

Kesalahan yang dikesan melibatkan tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, tidak memiliki pas atau permit sah di bawah Seksyen 6(1)(c), serta melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Selain itu, dua individu warga tempatan turut diberikan notis hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan lanjut berhubung pembabitan menggaji atau melindungi PATI.

Operasi bersepadu ini dijalankan bagi memastikan kawasan tumpuan pelancong khususnya di pulau peranginan terkenal sentiasa terkawal daripada sebarang ancaman kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI). Usaha ini juga bertujuan untuk memberi mesej jelas bahawa sebarang aktiviti yang melibatkan penggajian atau pelindungan PATI tidak akan dikompromi, seiring dengan komitmen kerajaan menegakkan undang-undang imigresen serta menjaga imej negara sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

JIM Terengganu akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi-agensi keselamatan lain bagi mengekang kemasukan dan kehadiran PATI, khususnya di kawasan tumpuan pelancongan. Pendekatan bersepadu ini diharap dapat memperkukuhkan kawalan keselamatan dan memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

 

Sumber : Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …