Banda Hilir – Cef selebriti, Cef Martin Yan menyatakan komitmen untuk menggunakan kepakarannya dalam bidang kulinari untuk bersama-sama mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan gastronomi ke persada dunia.
“Melaka adalah bandaraya bertenaga, penuh sejarah, budaya dan makanan yang luar biasa. Saya ingin menjadi pengimbau sejarah pelancongan Melaka, kerana bagi saya, Melaka mempunyai segalanya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Rakaman Dokumentasi Pelancongan Masakan di sebuah hotel, di sini, pada 29 September lalu.
Rakaman itu turut melibatkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebagai tetamu jemputan yang menyediakan hidangan menu asam pedas ikan merah.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

CEF Martin Yan.
Cef Martin Yan yang juga penerbit rancangan ‘Taste of Malaysia’ yang disiarkan di 65 negara berkata, beliau kini bekerjasama dengan program ‘Passport to Malaysia’ bagi menggamit lebih ramai pelancong antarabangsa ke negeri ini.
Malah Cef Martin Yan turut menyatakan kesediaannya untuk kembali lagi ke Melaka bagi merakam lebih banyak dokumentasi berkaitan warisan dan keunikan negeri ini termasuk produk ikonik seperti Melaka River Cruise, mural dan lain-lain.
“Saya harap kita dapat membawa lebih ramai pelancong ke Melaka. Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) adalah peluang terbaik untuk dunia melihat keindahan dan merasai makanan hebat di negara ini,” katanya.
Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)



