28 SEPTEMBER 2025 – Penggunaan kad pengenalan untuk penebusan subsidi yang diberikan kerajaan merupakan satu Langkah untuk memastikan keistimewaan hanya dinikmati oleh warganegara sahaja.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan, untuk itu penerima yang layak perlu mengemaskini maklumat serta mempunyai lesen memandu sah untuk menggunakan Budi MADANI RON95 (BUDI95).
“Jadi kita dah nampak dalam seminggu dua ni, pendaftaran untuk lesen yang mati (tamat tempoh), dah naik balik lah kan. Kerana kita rasa kalau awak nak menggunakan minyak yang kerajaan beri subsidi, individu itu mestilah mempunyai lesen yang sah. Kalau sekiranya berlaku apa-apa isu di atas jalan raya, tidak akan dapat berbuat apa-apa, itu bukan satu yang kerajaan nak menggalakkan. Jadi sahkanlah lesen”
Beliau ditemui pemberita Ketika melakukan tinjauan di Stesen Petronas Pohon Batu berhubung penggunaan RON95 untuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang layak bermula hari ini.
Katanya, 90,000 terdiri anggota polis dan tentera telah membuat pembelian daripada 300,000 penerima yang layak.
Untuk hari ini, seramai 200,000 penerima STR telah menebus dan mengisi minyak di seluruh negara.
Sumber: BES Labuan



