DAYA TAHAN PSIKOLOGI ANAK MUDA TIDAK WAJAR DINILAI MELALUI LABEL GENERASI STRAWBERI

Kecenderungan segelintir anak muda yang mudah tertekan atau sukar menerima kritikan tidak wajar dijadikan alasan untuk melabelkan keseluruhan golongan itu sebagai ‘Generasi Strawberi’. Istilah tersebut bukan konstruk psikologi yang diiktiraf secara saintifik atau kategori diagnosis klinikal, sebaliknya sekadar label sosial terhadap golongan muda yang dianggap sensitif dan mudah rapuh.

Pakar Psikologi dan Pengarah Wellbeing Research Centre, Universiti UCSI Kuala Lumpur, Penolong Profesor Dr. Zhooriyati Sehu Mohamad berkata, daya tahan psikologi bukan bermaksud seseorang tidak pernah berasa sedih, kecewa atau tertekan tetapi merujuk kepada keupayaan mengawal emosi, menyesuaikan diri dan meneruskan kehidupan ketika berdepan kesukaran.

Menurutnya, pendekatan keibubapaan yang terlalu melindungi boleh mengehadkan peluang anak muda membina kemahiran membuat keputusan dan menyelesaikan masalah sendiri. Selain itu, tekanan ekonomi, persaingan pendidikan, ketidakpastian kerjaya serta perbandingan sosial melalui media sosial turut mempengaruhi kesejahteraan psikologi golongan muda.

Dalam konteks pekerjaan, individu yang sukar menguruskan tekanan mungkin menghadapi masalah menerima teguran, mengendalikan konflik dan menyesuaikan diri dengan perubahan. Bagaimanapun, keputusan berhenti kerja tidak semestinya menunjukkan daya tahan yang rendah kerana seseorang mungkin berdepan persekitaran kerja toksik, buli, diskriminasi atau beban tugas melampau. Tindakan menetapkan batasan bagi melindungi kesihatan mental juga boleh mencerminkan pengurusan diri yang matang.

Sehubungan itu, ibu bapa, institusi pendidikan dan majikan perlu bekerjasama membentuk jati diri serta daya tahan anak muda melalui latihan pengurusan emosi, bimbingan dan persekitaran yang menyokong.

Kesimpulannya, matlamat utama bukan melahirkan generasi yang tidak pernah tertekan tetapi generasi yang mampu menghadapi cabaran, bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri, belajar daripada kesilapan dan mendapatkan bantuan apabila diperlukan.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/utama/2026/11/1440132/generasi-strawberi-hanya-label-sosial-bukan-konstruk-psikologi-pakar

 

Artikel/Berita Terkini

KEBURUKAN SIKAP SUKA BERTANGGUH DALAM KEHIDUPAN

Dalam meniti arus kemodenan yang serba pantas ini, pengurusan masa yang cekap merupakan kunci utama kejayaan seseorang. Namun begitu, masih …

KEAJAIBAN RASA BOSAN DALAM ERA DIGITAL

Dalam era digital yang serba pantas dan sarat dengan rangsangan teknologi, perkataan “bosan” sering dianggap sebagai satu keadaan yang negatif …

DETOKS DIGITAL: MEMPERKUKUH INSTITUSI KELUARGA DI ERA GAJET

Dalam arus kemodenan yang dipacu oleh kemajuan teknologi maklumat, peranti pintar telah menjadi sebahagian daripada rutin harian setiap isi rumah …