KERJA baik pulih dan naik taraf Masjid Penarik, Setiu mula dilaksanakan pada 2 Ogos lalu dan dijangka siap pada akhir Januari 2028.
Setiu: Kariah Masjid Penarik dan penduduk tempatan terpaksa menunggu lebih setahun lagi untuk kembali beribadat di masjid berkenaan yang ditutup sejak 2025.
Ini berikutan kerja baik pulih dan naik taraf yang sedang dilakukan hanya dijangka siap menjelang Januari 2028.
Mengesahkan perkara itu, Ahli Parlimen Setiu Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, kerja-kerja fizikal baik pulih serta naik taraf di tapak projek masjid sudah mula dilaksana pada 2 Ogos lalu.
Katanya, peruntukan berjumlah RM 1.71 juta sudah diluluskan untuk menjalankan kerja-kerja berkenaan dengan diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Keputusan untuk baik pulih keseluruhan masjid berkenaan dibuat selepas hasil pemeriksaan terperinci JKR mendapati struktur bangunan masjid mengalami kerosakan.
“Bangunan masjid tidak lagi selamat kerana boleh memberi ancaman kepada keselamatan ahli jemaah yang solat serta melaksanakan aktiviti di situ,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai keresahan penduduk susulan penutupan Masjid Penarik yang sudah menjangkau setahun dan perkembangan kerja pembaikan yang dianggap perlahan.
Mengulas lanjut, Shaharizukirnain berkata, buat sementara waktu Surau Kampung Baru Penarik digunakan untuk melakukan solat Jumaat serta aktiviti lain sepanjang penutupan Masjid Penarik.
“Sebelum ini iklan tender bagi projek berkenaan dibuka pada 30 Mac lalu dan melalui proses penilaian serta prosedur ditetapkan.
“Saya berharap kerja-kerja baik pulih berkenaan akan berjalan lancar mengikut jadual dan masjid itu akan kembali menjadi tarikan jemaah serta pelancong untuk singgah bagi mengimarahkan masjid,” katanya.
Katanya, kerja-kerja baik pulih berkenaan akan dilakukan secara berperingkat bermula daripada kawasan pagar sehingga ke struktur dalam masjid.
Menurutnya, beliau sebelum ini pernah membangkitkan isu kerosakan masjid berkenaan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Daerah Setiu ketika membuat tinjauan pada 2023.
Akuinya, atas faktor itu pembaikan perlu demi keselamatan dan keselesaan semua jemaah di masa akan datang.
Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/09/1407721/masjid-penarik-dibuka-2028



