SIDANG MEDIA: Jauteh semasa memberikan sidang media berkenaan kejayaan rampasan dadah JSJN Kontinjen Sabah di sini.
KOTA KINABALU: Sebanyak RM120.43 juta nilai rampasan dadah akan dilupuskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah tahun ini.
Pelupusan itu membabitkan 5,732 kertas siasatan dan pelbagai jenis dadah dengan jumlah keseluruhan melebihi satu juta gram.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tindakan itu sebahagian daripada komitmen berterusan JSJN membanteras kegiatan pengedaran dadah.
Katanya, pelupusan membabitkan 370,223.042 gram syabu, 2,970.17 gram ganja dan 24,104.15 gram kokain.
“Turut dilupuskan 14.95 gram Eramin 5, 0.2 gram heroin, 3,518.04 gram ketamin serta 609,669.2 gram mitragynine.
“Kesemua barang kes dilupuskan mengikut prosedur dan garis panduan ditetapkan,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Sabah di sini.
Katanya, pelupusan dadah bagi Kontinjen Sabah dilaksanakan di Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Proses itu bermula dengan arahan pelupusan oleh Timbalan Pendakwa Raya sebelum barang kes dihantar ke tapak pelupusan Kualiti Alam Sdn Bhd.
“Pergerakan barang kes bermula 1 September selepas sidang media dengan proses pembungkusan dan penghantaran dari Pelabuhan Sepanggar ke Pelabuhan Klang, Selangor.
“Kapal dijangka tiba pada 11 September, manakala majlis pelupusan rasmi dijadualkan pada 14 September,” katanya.
Beliau berkata, dalam usaha membanteras pengedaran dadah, JSJN Sabah turut melaksanakan Ops Bayu secara berterusan sepanjang tahun ini.
“Menerusi Ops Bayu 1 hingga Ops Bayu 14, seramai 41 individu ditahan dan daripada jumlah itu, 20 individu didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Seorang lagi didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama, manakala tiga individu ditangkap mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
“Dua individu dibebaskan sebagai saksi pendakwaan, 13 dibebaskan tanpa syarat dan dua suspek masih direman untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, kerjasama JSJN Sabah dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KKIA turut membuahkan hasil.
“Sejak Julai 2025 hingga kini, sebanyak 50 kes dikesan di Sabah dan sebahagian Sarawak manakala 31 lelaki dan lima wanita ditahan dalam operasi berkenaan, selain rampasan dadah dan sitaan harta.
“Rampasan membabitkan 60,603 gram methamphetamine, 55,848.87 gram ganja, 2,502.16 gram ketamin dan 191.82 gram ekstasi serta 1,020.42 mililiter cecair vape turut dirampas,” katanya.
Jauteh berkata, hasil siasatan mendapati dadah dihantar dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kelantan dengan penerima utama di Kota Kinabalu, Penampang dan Tawau.
“Sindiket menggunakan pelbagai barangan bagi menyembunyikan penghantaran dadah antaranya bungkusan gelembung, mainan kanak-kanak, kasut terpakai, pakaian, tumbler, mesin pencetak, kartrij pencetak serta makanan kering.
“Polis turut mengesan penggunaan butiran pengirim dan penerima palsu bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Keseluruhan tindakan itu memperlihatkan usaha berterusan JSJN IPK Sabah memutuskan rantaian pengedaran dadah,” katanya.
Katanya, pihaknya juga memastikan barang kes yang dirampas dilupuskan mengikut prosedur undang-undang.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



