KERJASAMA MEDIA SABAH-KALTARA PERKUKUH HUBUNGAN DUA WILAYAH BERJIRAN

ALBUM: Nizam (empat kanan) bergambar bersama tetamu kehormat serta wakil syarikat media Sabah dan Kalimantan Utara selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Tawau.

TAWAU: Kerjasama strategik antara syarikat media Sabah dan Kalimantan Utara (Kaltara), Indonesia menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) diyakini mampu memperkukuh hubungan dua wilayah berjiran selain membuka lebih banyak peluang kerjasama rentas sempadan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kolaborasi itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengamal media, malah turut memperkukuh hubungan Malaysia dan Indonesia khususnya melibatkan Sabah serta Kalimantan Utara.

Katanya, kerjasama itu mampu menjadi platform penting dalam memastikan penyampaian berita lebih bertanggungjawab, sahih dan beretika.

“Syabas dan tahniah kepada pengamal media dari Malaysia dan Indonesia khususnya Sabah dan Kalimantan Utara atas persefahaman yang dimeterai hari ini.

“Kerjasama ini sudah pasti memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan kawasan terlibat khususnya Tawau dan Kaltara, Sabah dan Kalimantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat media Sabah dan syarikat media Kaltara, Indonesia di sini, semalam.

Turut hadir, Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal dan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim.

Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Pemangku Ketua Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Dino Nurwahyudin atas sokongan penuh terhadap penganjuran program berkenaan.

Menurutnya, sokongan kepimpinan kedua-dua negara amat penting dalam memastikan kerjasama yang terjalin dapat diperkukuh demi manfaat bersama.

Dalam pada itu, beliau berkata, persefahaman berkenaan juga menjadi komitmen pengamal media baharu untuk terus menjaga etika kewartawanan dan profesionalisme dalam penyampaian maklumat.

“Kita melihat ada pihak yang bukan wartawan tetapi bertindak seolah-olah mereka wartawan sehingga etika kewartawanan tidak lagi dipelihara.

“Dengan adanya kerjasama ini, kita berharap pengamal media sosial dapat bersama-sama menjaga tata susila dan etika kewartawanan kerana tanggungjawab wartawan adalah menyatukan masyarakat serta menyampaikan berita yang sahih,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya bagi mengelakkan penularan maklumat palsu.

KERJASAMA: Nizam bersama tetamu kehormat lain menyaksikan majlis menandatangani MoU antara syarikat media Sabah dan Kalimantan Utara.

Sementara itu, Dino Nurwahyudin berkata, kerjasama berkenaan dijangka meningkatkan lagi interaksi ekonomi dan sosial antara masyarakat Sabah dan Kalimantan Utara yang sememangnya mempunyai hubungan erat sejak sekian lama.

Katanya, MoU tersebut akan membuka lebih banyak ruang kepada media di kedua-dua wilayah untuk melaporkan aktiviti serta potensi kerjasama yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.

“Hubungan masyarakat di sempadan ini sudah berlangsung sangat lama dan terdapat banyak aktiviti yang belum direkodkan secara meluas oleh media.

“Kami berharap dengan adanya MoU ini, lebih banyak berita berkaitan kerjasama antara Indonesia dan Malaysia dapat diketengahkan kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, kerjasama itu juga penting bagi mengelakkan penyebaran berita tidak tepat atau provokasi kerana media di kedua-dua negara kini mempunyai akses lebih baik kepada sumber rasmi dan tokoh berkaitan.

“Melalui kerjasama ini, wartawan di Malaysia dan Indonesia boleh mendapatkan maklumat yang lebih tepat daripada sumber sahih dan bukannya daripada pihak lain yang tidak pasti,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …