CUBAAN BOM IKAN DIGAGALKAN, 23 GUNI BAJA AMMONIA DIRAMPAS

BOM IKAN: Maritim Malaysia menggagalkan aktiviti bom ikan serta merampas 23 guni baja ammonia yang dipercayai digunakan sebagai bahan letupan dalam operasi di perairan Semporna.

SEMPORNA: Cubaan melakukan aktiviti pengeboman ikan berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) apabila merampas 23 guni baja ammonia di perairan Pulau Bum Bum, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, rampasan itu dilakukan kira-kira jam 4 petang oleh bot ronda ADAL 18 yang sedang melaksanakan Ops Khas Cegah PATI (OCP) Sektor Timur dan Op Tiris 3.0.

Katanya, pasukan operasi mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.2 batu nautika di utara pulau berkenaan.

“Suspek bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum berenang ke daratan berhampiran bagi mengelak ditahan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot itu menemukan 23 guni baja ammonia dengan anggaran berat kira-kira 575 kilogram yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengeboman ikan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, semua barang rampasan dibawa ke Jeti Kem Azumi, Zon Maritim Semporna untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Bekalan 1961.

Dalam pada itu, Amir menegaskan rampasan tersebut membuktikan ketegasan pihaknya dalam membanteras jenayah berimpak tinggi terhadap ekosistem marin.

“Penggunaan baja ammonia sebagai bahan letupan bukan sahaja satu kesalahan jenayah, malah boleh memusnahkan khazanah dasar laut termasuk terumbu karang.

“Jika semua bahan ini digunakan, impak kerosakan terhadap ekosistem marin amat dahsyat dan sukar dipulihkan,” katanya.

Katanya, usaha berterusan membanteras aktiviti bom ikan penting bagi memastikan kelangsungan ekonomi penduduk setempat khususnya sektor pelancongan di Semporna.

“Dengan usaha ini, kita bukan sahaja melindungi biodiversiti laut, malah menjamin keselamatan perairan untuk generasi akan datang.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut melalui talian Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di 089-782619 atau talian kecemasan 999,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …