ALBUM: Masidi (empat kanan), Anifah (tiga kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan.
KOTA KINABALU: Qhazanah Sabah Berhad perlu terus menambah baik serta memperkukuh perancangan strategik organisasi bagi memastikan pengurusan aset dan pelaburan negeri dilaksanakan secara lebih cekap, telus dan berimpak tinggi.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, langkah itu penting dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa yang semakin kompleks.
Katanya, usaha itu juga memastikan setiap inisiatif yang dirangka mampu memberi pulangan mampan kepada negeri serta manfaat langsung kepada rakyat.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Qhazanah Sabah juga perlu lebih proaktif dalam meneroka peluang baharu, termasuk dalam sektor-sektor berpotensi tinggi seperti teknologi, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital, selaras dengan aspirasi pembangunan jangka panjang Sabah.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada Qhazanah Sabah yang diketuai oleh Pengerusinya, Tan Sri Anifah Aman, di sini kelmarin.
Pada masa sama, beliau turut menitikberatkan tadbir urus yang baik, pemantauan berterusan serta pendekatan inovatif dalam setiap pelaksanaan projek agar setiap pelaburan yang dibuat benar-benar memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri.
Menurutnya, Kementerian Kewangan Sabah sentiasa menyokong segala usaha penambahbaikan dan pengukuhan strategi yang dilaksanakan oleh Qhazanah Sabah, khususnya dalam memastikan setiap perancangan selari dengan dasar kewangan negeri serta mampu memperkukuh kedudukan fiskal Sabah secara keseluruhan.
Terdahulu, kunjungan berkenaan membincangkan pembentangan bertajuk ‘Arah Strategik dan Hala Tuju Qhazanah Sabah Berhad’ yang memfokuskan kepada perancangan masa depan serta strategi pengukuhan peranan agensi itu dalam memperkasa ekonomi negeri.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



