BIMP-EAGA GAMES 2026 PERKUKUH PERPADUAN SERANTAU, PERKASA BELIA

ALBUM: Nizam (enam dari kanan), Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Anil Sandhu bersama pengerusi serta jawatankuasa penganjur.

KOTA KINABALU: Penganjuran BIMP-EAGA Friendship Games 2026 dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh perpaduan serantau serta memperkasa golongan belia melalui sukan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, temasya itu bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya menjadi ruang mengeratkan hubungan antara negara anggota BIMP-EAGA iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina dan Malaysia.

Katanya, penyertaan lebih 3,000 atlet dan pegawai membuktikan semangat kebersamaan serta perpaduan yang menjadi teras utama penganjuran.

“Temasya ini menghimpunkan atlet bawah 21 tahun yang bertanding dalam sembilan acara termasuk olahraga, renang, badminton, sepak takraw dan e-sukan, selaras dengan perkembangan minat belia masa kini.

“Sukan adalah platform penting dalam membentuk sahsiah, memupuk disiplin serta melahirkan generasi muda yang berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited memperkukuh pembangunan belia dan sukan sebagai pemacu kepada kemajuan sosial serta ekonomi negeri.

Nizam turut mengalu-alukan kehadiran peserta untuk merasai kepelbagaian budaya dan keindahan Sabah, selain menegaskan nilai kesukanan, disiplin dan saling menghormati kekal menjadi teras utama temasya berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Tetap kementerian yang juga Pengerusi Penganjur, Datuk Mansur Asun berkata, penganjuran temasya itu menjadi medium penting dalam membentuk kepimpinan dan jati diri dalam kalangan belia.

Menurutnya, sukan juga berperanan sebagai penghubung yang merapatkan hubungan antara negara anggota selain memperkukuh kerjasama serantau.

“Sabah berbangga menjadi tuan rumah dan pelbagai persiapan rapi telah dilaksanakan bagi memastikan kelancaran temasya ini.

“Kami berharap penganjuran ini bukan sahaja berjalan lancar, malah memberi pengalaman bermakna kepada semua peserta,” katanya.

Pertandingan berlangsung di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu termasuk Kompleks Sukan Likas, Pusat Akuatik Likas serta beberapa fasiliti sukan lain.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM LOKAKARYA MEMUGAR: MEMPERKASA BELIA GEN-Z 2026

Program Lokakarya Memugar: Memperkasa Belia Gen-Z 2026 telah dilaksanakan dengan jayanya pada 9 hingga 11 Oktober 2026 bertempat di Pusat …

JIMAT TENAGA ATAU CEKAP TENAGA – SAMA KE?

Ramai mungkin menganggap kedua-duanya sama, tetapi sebenarnya ada perbezaan. Jimat tenaga ialah usaha mengurangkan penggunaan tenaga, contohnya memadamkan lampu atau …

BELANJAWAN MADANI 2027: APLIKASI AI NSRC KESAN SCAM PERKUKUH PERLINDUNGAN RAKYAT DARIPADA ANCAMAN PENIPUAN DIGITAL

Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2027 memperkenalkan inisiatif pembangunan aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh keupayaan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) …