TINJAU: James ketika meninjau dan melawat sekolah berkenaan yang rosak teruk akibat banjir.
BELURAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang K9, Tangkarason di sini mengalami kerosakan serius susulan banjir yang melanda kawasan berkenaan baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata hasil lawatan dan penilaian awal mendapati kira-kira 90 peratus kemudahan serta peralatan sekolah rosak sepenuhnya.
Beliau berkata, antara keperluan mendesak yang dikenal pasti ialah 200 set meja dan kerusi murid, 30 set meja dan kerusi guru serta lima set meja dan kerusi bagi kegunaan pentadbiran sekolah.
“Selain itu, kemudahan pengajaran dan pembelajaran bagi sembilan kelas turut terjejas dan memerlukan papan putih serta televisyen pintar (Smart TV) baharu.
“Keseluruhan buku teks termasuk stor simpanan turut musnah, manakala 30 komputer riba dan lapan set komputer untuk kegunaan pelajar tidak lagi dapat digunakan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Katanya, kerosakan turut membabitkan bilik pusat sumber, tandas serta bilik mesyuarat sekolah, selain 10 tangki simpanan air yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus banjir.
James berkata, situasi itu memerlukan tindakan segera dan penyelarasan rapi antara agensi berkaitan bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan sesi persekolahan murid.
Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menyalurkan bantuan dengan kadar segera bagi membolehkan kerja baik pulih serta penggantian aset dilaksanakan secepat mungkin.
Beliau turut menggesa semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya memaklumkan segera kepada pihak kementerian sekiranya berlaku kejadian seumpama itu di kawasan masing-masing bagi membolehkan tindakan awal diambil tanpa kelewatan.
“Kelangsungan pendidikan anak-anak Sabah mesti terus menjadi keutamaan dan tanggungjawab bersama semua pihak,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



