ALBUM: dari kanan Bacho Pilong, Ruslan, James, Jordan Jude dan Zainudin dalam majlis perasmian berkenaan.
TAWAU: PETRONAS melancarkan SainsXplor Tawau, sebuah pusat sains yang mula beroperasi sejak Oktober tahun lepas, menandakan langkah signifikan dalam memacu pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sabah.
Terletak di Garden City, kemudahan seluas 3,756 kaki persegi itu dikendalikan oleh Petrosains Sdn Bhd, menempatkan 20 pameran interaktif serta sebuah Maker Studio yang direka untuk menggalakkan kreativiti dan pembelajaran secara praktikal.
Berteraskan slogan ‘Xperience. Xcitement. Xcellence.’, SainsXplor Tawau bertujuan mencetuskan minat terhadap sains, memupuk pemikiran inovatif serta membina kemahiran praktikal komuniti melalui pengalaman pembelajaran yang interaktif dan imersif.
Sejak dibuka, pusat sains ini menerima lebih 32,000 pengunjung dalam tempoh tiga bulan pertama, menunjukkan sambutan hangat daripada masyarakat setempat dan meningkatkan minat terhadap STEM di Tawau.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata, pelancaran SainsXplor Tawau mencerminkan komitmen Sabah dalam membangunkan masyarakat yang berdaya saing dan berilmu.
Selain itu, katanya, ia menjadi hab sains, ia juga menjadi pemangkin peluang, memperkasakan golongan belia melalui kemahiran STEM ke arah membentuk masa depan negeri.
Beliau turut menghargai PETRONAS dan Petrosains sebagai rakan kongsi dalam usaha ini, yang membuktikan kerjasama antara kerajaan dan industri mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Ruslan Islahudin, berkata, penubuhan SainsXplor Tawau mencerminkan komitmen PETRONAS dalam memupuk bakat serta memperkukuh pendidikan STEM di Sabah.
“Dengan pengalaman pembelajaran yang interaktif dan praktikal, kami berhasrat membina kemahiran generasi akan datang agar bersedia menghadapi cabaran dan peluang dalam ekonomi berteraskan ilmu,” katanya.
Turut hadir, Naib Presiden Kanan PETRONAS, Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Ir (Dr) Bacho Pilong; Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Jordan Jude Ellron, serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman.
Selain pembangunan SainsXplor Tawau, PETRONAS juga memperluas penglibatan STEM melalui program Petrosains Rover, trak pameran bergerak yang menyediakan aktiviti praktikal dan pameran interaktif di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman di sembilan daerah Sabah, termasuk Tawau.
Program ini bertujuan merangsang minat pelajar terhadap STEM sambil menyokong guru dengan alat praktikal untuk mempertingkatkan pembelajaran di bilik darjah.
SainsXplor Tawau terletak di Aras Satu, Garden City, Jalan Chong Thien Vun dan dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 5 petang dengan masuk percuma, membolehkan semua lapisan masyarakat menikmati pengalaman pembelajaran sains yang menyeronokkan.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



