Pendahuluan
Pada 5 Disember 2025 jam lebih kurang 5.30 petang, suatu insiden kemalangan menyayat hati berlaku melibatkan sepasang bakal pengantin yang menaiki kenderaan SUV Toyota Fortuner bertempat di Kilometer 52, Jln Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah), Hulu Terengganu .
Kronologi Insiden
Kejadian ini melibatkan sepasang bakal pengantin yang bakal meraikan penyatuan dua hati dijangka pada 25 Disember 2025 dan sebelum kejadian berlaku kedua-duanya sedang bersama dalam kenderaan SUV Toyota Fortuner dalam perjalanan dari Hulu Terengganu ke Gua Musang untuk tujuan membeli barang perkahwinan mereka.
Sepasang bakal pengantin tersebut iaitu Allahyarham Hassan bin Sazali, 52 tahun bertugas sebagai Guru di SK Lebir, Gua Musang dan Allahyarhamah Suzaimah binti Che Azis, 34 tahun, Pengusaha Kantin di SK Lebir, Gua Musang telah terkorban akibat kemalangan ini dan kenderaan yang dipandu oleh Hassan telah terjatuh ke dalam gaung sedalam 61m atau 200 kaki di lokasi kemalangan berkenaan.
Siasatan awal pihak berkuasa ke atas insiden yang berlaku mendapati kenderaan dipandu mangsa lelaki tersebut dipercayai telah terbabas dan terus terhumban ke dalam gaung sedalam 61m dan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum insiden ini disedari oleh orang awam yang menyedari adanya sebuah kenderaan dalam gaung tersebut dan melaporkan kepada pihak berkuasa.
Siasatan lanjut dijalankan oleh pihak PDRM di bawah Sek 41(1) APJ 1987 dan mendapati pemandu dan penumpang SUV malang tersebut telah tercampak keluar dari kenderaan terlibat dipercayai impak dari kemalangan. Kedua-dua mangsa kemudiannya telah dibawa ke Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan tindakan selanjutnya.
Menyorot kembali laluan tersebut, ianya telah ditutup untuk sebarang laluan kenderaan sejak November 2024 lagi akibat tanah runtuh di lokasi dan masih menunggu kerja-kerja baik pulih jalan dari pihak JKR Hulu Terengganu. Laluan tersebut sebelum ini seringkali digunakan sebagai jalan alternatif untuk menyingkatkan perjalanan ke Kuala Terengganu dari Gua Musang, Kelantan.
Pihak Jabatan Kerja Raya Hulu Terengganu telah mengambil tindakan meletakkan papan tanda amaran dan penghadang konkrit di lokasi sebelum dan selepas runtuhan bagi menutup laluan dari dilalui kenderaan dan untuk tujuan keselamatan semua pihak sehingga proses baik pulih jalan dilakukan dan jalan disahkan selamat untuk dilalui semua kenderaan.
Penutup
Menelusuri insiden kemalangan ini, berbagai persoalan telah ditimbulkan yang tak mampu dijawab oleh pihak-pihak berkaitan dan memerlukan siasatan lanjut bagaimana sebuah kenderaan malang tersebut boleh terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 200kaki sedangkan laluan itu telah ditutup sejak hujung 2024 lagi dan telah setahun tempoh ditutup.
Persoalan yang belum terjawab dan meninggalkan tanda soal bukan sahaja motif insiden bagaimana hanya sebuah kenderaan sahaja berada di sana tetapi juga dari sudut informasi/ hebahan dari pihak berkuasa samada sampai kepada rakyat/masyarakat atau sebaliknya.
Semoga roh kedua-dua mangsa kemalangan diampuni segala dosanya yang telah lalu, ditempatkan di kalangan orang beriman dan dikurniakan kesabaran buat ahli-ahli keluarga kedua-duanya yang ditinggalkan. Al fatihah



